Penemuan seekor pelanduk putih di pulau legenda
ini menyebabkan kediaman milik Jismani Hasan, 41, di Kampung Buluh Penyumpit,
dekat Kuah, di sini, menjadi tumpuan ramai.
Difahamkan, pelanduk putih yang dianggap unik dan jarang
ditemui itu, dijumpai Jismani ketika mencari madu lebah di kawasan Hutan Simpan
Bukit Tekoh, di sini, bersama anak lelakinya pada petang Rabu minggu lalu.
Menceritakan penemuan pelanduk berkenaan, Jismani berkata,
haiwan unik itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dan anaknya berada
di kawasan tepi sungai berhampiran Telaga Tok Siti di Hutan Simpan Bukit Tekoh.
"Kami terserempak dengan pelanduk putih berkenaan
ketika ia turun untuk meminum air di tepi sungai... tanpa berlengah kami terus
pasang pukat di kawasan terbabit, sebelum pelanduk putih berkenaan berjaya
dijerat kira-kira sejam kemudian," katanya.
Jismani berkata, sejak berita penemuan haiwan unik itu
tersebar, pelanduk yang diberi nama 'Awang Putih' itu ternyata mencuri tumpuan
ramai sehinggakan kediaman Jismani sering dikunjungi orang ramai yang berhasrat
menyaksikan haiwan berkenaan.
Malah, bapa kepada enam anak itu turut mengakui ada pihak
yang menawarkan harga sehingga melebihi RM1,000 untuk membeli Awang Putih,
namun dia lebih selesa untuk membelanya sendiri.
Difahamkan penemuan pelanduk putih itu adalah yang kedua di
pulau pelancongan ini, selepas haiwan ganjil sama pertama kali ditemui di Hutan
Simpan Bukit Tekoh pada 23 Mac 2001.
0 ulasan :
Post a Comment