Setelah
lebih 6 tahun 5 bulan 10 hari
Sekitar pukul 9 pagi ini, panel lima hakim yang diketuai
oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan masuk ke Dewan Mahkamah
Persekutuan 1, Istana Kehakiman, Putrajaya dan duduk di kerusi masing-masing.
Selepas berbasa-basi, salah seorang daripada panel tersebut
akan mula membacakan penghakiman kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar
Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Panel hakim
tersebut turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus
Sharif dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan
Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Keputusan mahkamah
tertinggi negara itu adalah berikutan rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat
(PKR) berkenaan terhadap sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun yang
diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu.
Keputusan Mahkamah
Rayuan itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan
Anwar pada 9 Januari 2012. Ketetapan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan
hari ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.
Kes liwat berkenaan merupakan pertuduhan kali kedua yang
pernah dihadapi oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Kali pertama, Anwar
didakwa meliwat pemandu keluarga Anwar, Azizan Abu Bakar, di apartmen milik
adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Tivoli Villa, Bangsar di
sini antara Januari dan Mac 1993.
Beliau bagaimanapun
dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut di peringkat Mahkamah
Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1. Penghakiman majoriti tersebut
ditulis oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad,
yang kemudian dilantik Ketua Hakim Negara (kini bersara).
Dalam penghakiman
itu, Abdul Hamid berkata: “Kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan
perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami
cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu
benar-benar berlaku, kadang kala ...” Semestinya, pada ketika penghakiman dalam
kes terkini yang dihadapinya dibacakan, Anwar mengharapkan keputusan akan
berpihak kepada dirinya.
Sekiranya gagal di peringkat ini, Anwar bakal berdepan pula
dengan kemungkinan bahawa hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya
oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini dipanjangkan. Selain itu, beliau menghadapi
kemungkinan kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dipegangnya kini.
Anwar, 67, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah
meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 30, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara,
No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan
4.30 petang, 26 Jun 2008.
Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Atas faktor usia, Anwar tidak akan dikenakan hukuman sebatan.
0 ulasan :
Post a Comment