Ramai yang menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan
madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa.
Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat,
menjadikan serangga tersebut mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa.
Hal demikian turut diakui pengusaha madu kelulut, Langkawi
Black Bee Farm, Radzi Alias yang berjaya menternak lebah kelulut untuk
mendapatkan madu serta propolis serangga tersebut.
Jelasnya, madu serta propolis lebah kelulut memiliki khasiat
yang lebih baik berbanding lebah biasa.
"Sebelum ini saya mengusahakan ternakan lebah madu,
namun setelah mendapati khasiat madu kelulut lebih baik maka saya bertukar
kepada penternakan lebah jenis ini.
"Hasil daripada kerjasama, teknologi serta khidmat
nasihat MARDI saya mampu memperolehi hampir dua kilogram (kg) madu daripada
satu-satu koloni lebah kelulut," katanya.
Ujar Radzi, jika menggunakan kaedah biasa adalah amat sukar
untuk memperolehi madu kelulut sebanyak itu.
Radzi mula berjinak-jinak dengan perusahaan madu kelulut
hanyalah sebagai hobi. Namun setelah menerima permintaan yang tinggi dari
kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan akhirnya beliau mula mengusahakan madu
lebah kelulut dengan lebih serius.
Berbekalkan pengalaman menternak lebah madu juga sebagai
hobi sejak tahun 2009, akhirnya pada tahun 2012 Radzi mendaftarkan
perniagaannya menerusi bantuan serta khidmat nasihat MARDI.
Kini, permintaan madu lebah kelulut yang diternak olehnya
mampu mencecah 100 botol sebulan menjadikan Radzi tidak 'menang tangan'.
Bercerita mengenai lebah kelulut, katanya menerusi maklumat
yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga
tersebut telah dikenal pasti terdapat di Malaysia.
Lebah kelulut merupakan agen penting untuk proses
pendebungaan di kawasan tropika, sub-tropika dan di bahagian-bahagian tertentu
dunia.
Menurut kajian yang dijalankan di seluruh dunia, terdapat
hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona
laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan pelbagai
lagi.
Antara negara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut
adalah Indonesia (37 spesies), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesies),
Vietnam (8 spesies), India (3 spesies), Taiwan (1 spesies) dan di Malaysia.
Lebah kelulut memiliki koloni yang besar dengan organisasi
sosial yang sangat kompleks berbanding dengan lebah madu.
Senibina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut
spesies tertentu di mana ada sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di
dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.
Sikap tersebut menunjukkan bahawa lebah kelulut memiliki
perilaku yang kompleks menjadikan serangga tersebut sukar untuk diternak.
Malah, artikel ilmiah mahupun kajian mengenai lebah kelulut
jarang ditemui kerana masih ramai yang tidak berminat untuk mengkajinya.
Kajian MARDI juga menunjukkan madu lebah kelulut mengandungi
pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk manusia.
Asid p-coumaric sebagai contoh mengandungi bahan antioksidan
yang tertinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan
mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid
protokatechuik dan asid vanilik.
Manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu
kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang
menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.
Bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap
kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.
Jelas Radzi, kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu
kelulut telah menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat naik.
"Jika di peringkat awal masyarakat masih kurang
tertarik kerana produk ini juga kurang di pasaran.
"Kini, permintaan madu kelulut diterima dari seluruh
negara malah tidak ketinggalan pengguna dari luar negara seperti Timur
Tengah," katanya.
Selain menghasilkan madu, lebah kelulut juga turut digunakan
untuk meningkatkan hasil produk pertanian berasaskan buah kerana lebah kelulut
merupakan agen pendebungaan utama kepada tumbuh-tumbuhan.
0 ulasan :
Post a Comment