Firman Allah dalam ayat 38 – 40 surah Yaasiin; maksudnya:
Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan
siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar
ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa,
lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui
beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke
peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.(Dengan
ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan
malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edarannya masing-masing
Kejadian gerhana bulan mengajak kita untuk menambahkan lagi
keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai
Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan
seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara
berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di
waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ia
mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan
manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula
dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.
Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga
dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada
berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran
bulan bagi taqwim Hijrah. Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk
gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan
mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir
tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga
mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah
Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara
berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah (Solat
berjemaah)
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى
سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat
kerana Allah Taala.”
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى
سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua
rakaat kerana Allah Taala.”
Cara & Bilangan Rakaat
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
i. Yang
terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2
qiyamyang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat
(Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua
rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah
cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan
melibatkan masa yang amat panjang. Kadar
panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama,
sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam
qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100
ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan
sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar
bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.
ii. Yang
lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan
tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak
memakan masa yang lama.
iii. Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang
paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.
Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)
Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang
sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat
gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007
lalu. Turut dicadangkan bacaan
surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan
masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.
(Rakaat Pertama)
1. Takbiratul
Ihram.
2. Membaca doa
iftitah.
3. Membaca
Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ
الرَّجِيْمِ)
4. Membaca
surah al-Fatihah.
5. Membaca
surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan
membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’
(pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan
qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat
26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’
(kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud
(pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk
antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud
(kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke
rakaat kedua.
(Rakaat Kedua)
1. Qiyam
ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca
surah. Dicadangkan membaca surah
al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga)
dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan
qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat
62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’
(keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud
(ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk
antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud
(keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca
tasyahhud akhir.
11. Memberi
salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.
RUJUKAN
Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga,
Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam.
Pustaka Dini.
al-Dimyāti al-Bakri, Abū Bakr bin ‘Uthmān bin Muhammad
Shattā, Hāshiyat i‘ānat al-tālibin, 1995, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah,
jil. 1, hlm. 448.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-ma‘ād fi hady Khayr
al-‘ibād, 1994, Cet. ke-27, Beirut: Mu’assasat al-Risālah, jil. 1, hlm. 450-456.
Ibn Qudāmah, Muwaffaq al-Din Abū Muhammad ‘Abd Allah bin
Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Qudāmah, al-Mughni, 1992, Cet. ke-2,
Kaherah: Hajar li al-Tibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘ wa al-I‘lān, jil. 3, hlm.
321-333.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Azkār, 1991, cet. ke-3,
Madinah: Maktabat Dār al-Turāth & Damsyik: Dār Ibn Kathir, hlm. 291-293.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Majmū‘, t.th, Jeddah:
Maktabat al-Irshād, jil. 5, hlm. 50-68.
al-Shāfi’i, Taqiy al-Din Abū Bakr bin Muhammad al-Husayni
al-Husni al-Dimashqi, Kifāyat al-akhyār fi hall qhāyat al-ikhtisār, 1991,
Beirut: Dār al-Khayr, hlm. 151-152.
Hasil nukilan;
Ustaz Hj. Nurazmallail bin Hj. Marni,
Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
0 ulasan :
Post a Comment