"Saya minta maaf mama, saya minta maaf."
Luahan pilu sambil diiringi tangisan itu berulang kali
diucapkan Yusriman Roslan, 22, anak kepada Noor Hayati Wook, 50, yang maut
dalam kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini
hari ini.
Yusriman yang memandu kereta Proton Saga BLM untuk pulang
berhari raya di Kampung Chain, Lenggong berkata, sebelum ibunya menghembuskan
nafas terakhir, wanita tersebut yang dalam keadaan nazak sempat bercakap
dengannya dan dua lagi adik-beradik lain.
Kemalangan yang melibatkan enam buah kereta dan dua buah
treler itu bukan sahaja menyebabkan dia dan dua lagi adik beradiknya kehilangan
ibu tersayang, malah turut mengorbankan seorang adik perempuannya, Siti
Yuslianis, 20.
"Mama tersepit, saya cuma mampu pegang kepalanya
sahaja. Dia sempat meminta maaf dan memaafkan kami sebelum menghembuskan nafas
terakhir. Ketika itu, Yuslianis sudah tidak bergerak," katanya ketika
ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Dua lagi anak mangsa, Yusrizal, 25, dan Siti Yusliana, 12,
bagaimanapun hanya cedera ringan.
Menceritakan mengenai kejadian malang itu, Yusriman berkata,
dia yang ketika itu memandu di lorong kanan jalan melihat sebuah treler yang
dipandu laju melanggar sebuah treler lain sehingga terbalik di sisi kiri jalan.
Katanya, dia yang melihat melalui cermin pandang belakang
bagaimanapun terkejut apabila treler tersebut menuju ke arah keretanya pula
sebelum mengheret kenderaan tersebut.
"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat
buat apa-apa. Saya hanya mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan cermin
kereta pula pecah. Kami hanya mampu menjerit," katanya sambil mengesat air
mata.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala
Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam
untuk mengeluarkan Noor Hayati, Siti Yuslianis dan Yusrizal yang tersepit di
tempat duduk masing-masing.
Katanya, Noor Hayati dan Siti Yuslianis yang masing-masing duduk
di bahagian belakang pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian
manakala Yusrizal yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan ringan.
"Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
Kuala Kangsar dan Meru serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Ipoh
dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerim panggilan kecemasan kira-kira
pukul 11.37 pagi.
"Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan
itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi
anak mangsa dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan orang awam,"
katanya yang memberitahu kereta mangsa diheret sejauh 200 meter.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten
Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan
memberitahu pemandu treler berusia 40-an itu kini ditahan bagi membantu
siasatan.
Katanya, kejadian berlaku ketika wanita itu yang merupakan
isteri kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa,
Rawang, Selangor, bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung
mereka di Lenggong.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika menuruni bukit
selepas Terowong Menora apabila treler yang dipandu lelaki terbabit gagal
dikawal sebelum merempuh kereta yang dinaiki lima beranak itu," ujarnya. Sumber
0 ulasan :
Post a Comment