LANGKAWI: Pelumba Slovakia, Michal Lami dan Eva Lechner dari
Itali menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan kategori Lelaki dan
Wanita Elit dalam Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2014 yang
berakhir di sini, hari ini.
Lami, dari pasukan kebangsaan Slovakia, menduduki tempat
kesembilan pada peringkat kelima dan terakhir hari ini namun ia mencukupi
untuknya mengekalkan jersi kuning yang dimenangi pada peringkat keempat
semalam.
Ini membolehkannya dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki
Elit edisi kelima perlumbaan ini.
Selepas tamat perlumbaan hari ini yang membabitkan 11
pusingan di atas trek 1.6km (17.6km) di Pantai Lagenda, Lami yang pertama kali
menyertai LIMBC mencatatkan masa terkumpul sembilan jam 14 minit 19.50 saat
(9:14:19.50s) untuk mengetepikan tiga juara sebelum ini iaitu Karl Platt
(2011), Fabian Giger (2012) dan Kohei Yamamoto (2013).
Paling menarik, Lami muncul juara keseluruhan tanpa muncul
pemenang bagi mana-mana peringkat sejak kejohanan bermula dengan acara prolog
ujian masa individu Isnin lepas.
Pelumba Jerman, Platt yang mewakili Bulls Team di tempat
kedua keseluruhan dengan catatan masa 9:14:54.30s manakala Giger dari
Switzerland yang mewakili pasukan Giant Pro XC di tempat ketiga dengan catatan
9:17:13.00s.
Lami jelas gembira kerana pada kemunculan sulungnya berjaya
menewaskan tiga bekas juara sebelum ini.
"Bagi pusingan pertama perlumbaan hari ini, saya berada
dalam kumpulan pertama tetapi gagal mengejar pada pusingan kedua... namun, saya
tidak kisah kerana mahu menumpukan perhatian kepada gelaran juara keseluruhan
selain mengekalkan jersi kuning yang dimenangi semalam.
"LIMBC adalah perlumbaan terakhir saya bagi tahun ini.
Selepas ini, saya mahu berehat sepuas-puasnya," katanya kepada pemberita
di sini, hari ini.
Pada peringkat kelima hari ini, pelumba kebangsaan Denmark
mendominasi tiga tempat teratas dengan Sebastian Fini Cartensen muncul pemenang
dengan catatan masa 28 minit 11.70 saat (0:28:11.70s) manakala Nells Bech
Rasmussen di tempat kedua (0:28:13.40s) manakala Louis Bendixen di tempat
ketiga dengan catatan masa 0:28:13.80.
Dalam kategori Wanita Elit, Lechner yang mewakili pasukan
Colnago Suditrol terus cemerlang mengekalkan jersi merah jambu selepas
mencatatkan masa keseluruhan 9:15:55.30s manakala pelumba Slovenia, Tanja
Zakelj yang mewakili pasukan Unior Tools di tempat kedua (9:26:16.90s).
Pelumba senegara Zakelj, Blaza Klemencic yang mewakili
pasukan Slovenia di tempat ketiga dengan catatan masa 9:28:53.50s.
Lechner berkata beliau amat gembira muncul juara tahun ini
yang disifatkan sebagai pertandingan yang menyeronokkan dan berharap dapat
menyertai edisi keenam LIMBC tahun hadapan bagi membolehkannya mempertahankan
kejuaraannya.
Bagi peringkat kelima kategori Wanita Elit membabitkan jarak
16 km (10 pusingan) hari ini, Lechner memenangi perlumbaan dengan catatan masa
0:30:48.30s manakala Klemencic di tempat kedua (0:30:52.40s) dan rakan
sepasukan Lechner, Nathalie Schneitier dari Switzerland di tempat ketiga dengan
catatan masa 0:31:00.20s.
0 ulasan :
Post a Comment