KEDAH selaku pasukan bukan pilihan, sekali lagi mencipta
kejutan apabila berjaya mengatasi juara bertahan, Pahang 3-1 pada saingan
separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Darul Aman Alor
Setar, malam tadi.
Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong sendiri, Kedah
memulakan permainan dengan aksi meyakinkan dengan melakukan serangan bertali
arus ke gawang pasukan lawan.
Usaha skuad Helang Merah membuahkan hasil seawal minit
kesembilan menerusi pemain importnya, Namkung Woong yang melepaskan rembatan
kecang daripada luar kotak penalti untuk membolehkan tuan rumah mendahului 1-0.
Skuad Tok Gajah yang cuba untuk bangkit, sekali lagi
dikecewakan apabila gawang golnya dibolosi sekali lagi pada minit ke-49
menerusi Mohd. Farhan Roslan yang menanduk kemas bola hantaran Baddrol
Bakhtiar.
Namun, pada minit-minit akhir perlawanan, gawang Helang
Merah berjaya dibolosi Pahang menerusi Matias Ruben Conti.
Bagaimanapun, kegembiraan Pahang hanya seketika apabila
Kedah berjaya menyumbat gol ketiga menerusi Khyril Muhymeen, sekali gus
membolehkan Kedah mendahului 3-1.
Skuad Tok Gajah turut membuat asakan namun ternyata benteng
pertahanan Kedah selaku juara trebel musim 2007/08 sukar ditembusi.
Kelebihan agregat dua gol itu akan menjadi pembakar semangat
kepada Kedah untuk terus menyumbat gol di tempat lawan pada aksi separuh akhir
kedua yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang pada 24
Oktober nanti.
Hadir menyaksikan perlawanan malam tadi ialah Tengku
Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Menteri
Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
“Saya kagum dengan komitmen para pemain Kedah pada
perlawnaan ini. Mereka telah bekerja keras sepanjang perlawanan ini dan inilah
hasilnya. Saya berharap rentak cemerlang ini akan diterukan pada aksi kedua di
Kuantan nanti,” jelas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.
0 ulasan :
Post a Comment