20 July 2017




Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan tiga objektif utama penganjuran Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri 2017 bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di kampung.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga objektif itu ialah merealisasikan program transformasi luar bandar yang lestari, menyuburkan semangat patriotisme di peringkat akar umbi dan memajukan sosioekonomi yang mampan.

Katanya, bagi memastikan ia dicapai, anugerah kali ini menekankan lapan kriteria penilaian kampung meliputi keseluruhan organisasi kawasan berkenaan bermula dengan program pendidikan dan pembangunan belia.

"Kriteria berkenaan meliputi aspek kepimpinan, pentadbiran, pendidikan, latihan, ekonomi, keusahawanan, pemerkasaan dan peranan belia.

"Kita sudah anjur anugerah berkenaan di Zon Utara di sini (Behrang, Perak), ia akan dilaksanakan seterusnya di Negeri Sembilan bagi Zon Tengah dan Selatan, manakala Pahang dan Sabah masing-masing bagi Zon Timur dan Zon Labuan, Sabah serta Sarawak.

"Kemuncak penyampaian Anugerah Peringkat  Kebangsaan akan diadakan pada 22 Ogos depan yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak)," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Tahun 2017 Zon Utara di sini, kelmarin.

Dinobat juara Zon Utara

Pada majlis itu, Kampung Wang Ulu, Kangar; Kampung Sungai Itau, Langkawi; Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau dan Kampung Kuala Slim, Slim River masing-masing dinobatkan juara Zon Utara bagi kategori kampung tradisional.

Bagi kategori kampung Orang Asli pula, Kampung Ulu Bekor, Kuala Kangsar diberi pengiktirafan sama.

Tekan aspek pendidikan, keusahawanan, ekonomi

Sementara itu, Ketua Juri Kedah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, berkata beliau menekankan aspek pendidikan, keusahawanan dan ekonomi di mana ia menjadi penyumbang markah utama pemenang kampung berkenaan.

Katanya, aspek berkenaan menyumbang sebanyak 15 markah dalam penilaian pemilihan pemenang anugerah berkenaan berbanding hanya 10 markah bagi kriteria lain.

"Bagi pendidikan, kita akan tengok peratusan penduduk yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, selain peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menganjurkan kelas tambahan bagi mereka yang memerlukan (pelajar lemah).

"Bagi bidang keusahawanan, mereka perlu memikirkan kaedah untuk mengeksport sumber sedia ada (hasil pertanian) ke luar negara, sekali gus dapat menjana ekonomi kampung," katanya.













 


 





0 ulasan :

Post a Comment