25 February 2015

Penemuan seekor pelanduk putih di pulau legenda ini menyebabkan kediaman milik Jismani Hasan, 41, di Kampung Buluh Penyumpit, dekat Kuah, di sini, menjadi tumpuan ramai.

Difahamkan, pelanduk putih yang dianggap unik dan jarang ditemui itu, dijumpai Jismani ketika mencari madu lebah di kawasan Hutan Simpan Bukit Tekoh, di sini, bersama anak lelakinya pada petang Rabu minggu lalu.

Menceritakan penemuan pelanduk berkenaan, Jismani berkata, haiwan unik itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dan anaknya berada di kawasan tepi sungai berhampiran Telaga Tok Siti di Hutan Simpan Bukit Tekoh.

"Kami terserempak dengan pelanduk putih berkenaan ketika ia turun untuk meminum air di tepi sungai... tanpa berlengah kami terus pasang pukat di kawasan terbabit, sebelum pelanduk putih berkenaan berjaya dijerat kira-kira sejam kemudian," katanya.

Jismani berkata, sejak berita penemuan haiwan unik itu tersebar, pelanduk yang diberi nama 'Awang Putih' itu ternyata mencuri tumpuan ramai sehinggakan kediaman Jismani sering dikunjungi orang ramai yang berhasrat menyaksikan haiwan berkenaan.


Malah, bapa kepada enam anak itu turut mengakui ada pihak yang menawarkan harga sehingga melebihi RM1,000 untuk membeli Awang Putih, namun dia lebih selesa untuk membelanya sendiri.


Difahamkan penemuan pelanduk putih itu adalah yang kedua di pulau pelancongan ini, selepas haiwan ganjil sama pertama kali ditemui di Hutan Simpan Bukit Tekoh pada 23 Mac 2001.

23 February 2015


Langkawi: Empat ratus penumpang feri yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah cemas apabila feri yang mereka naiki diselubungi asap di perairan Langkawi semalam.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, feri dua tingkat My Ferry baru berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah menuju ke Kuala Kedah.

Difahamkan, kepulan asap yang dikesan dalam feri dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri.

Sejurus kepulan asap dikesan, anak kapal segera mengarah penumpang memakai jaket keselamatan dan memaklumkan feri akan berpatah balik ke jeti Kuah.


Feri itu tiba di jeti Kuah pada 12.55 tengah hari dan semua penumpang dimaklumkan akan bertolak ke Kuala Kedah secepat mungkin dengan menaiki feri gantian. 

20 February 2015


LANGKAWI – Seorang warga emas yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa sempat memberikan wang pendapatan terakhir kepada isterinya sebelum dia menemui maut setelah dihempap dahan pokok ru yang tumbang di Jalan Persiaran Putra, Kuah di sini semalam.


Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, mangsa, Khamis Jani, 65, dari Kampung Huma, Mukim Air Hangat di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan leher.



Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu van jenis Nissan Vanette sedang dalam perjalanan menghala ke Jeti Kuah dipercayai untuk menghantar penumpang.

“Bagaimanapun, ketika sampai ke tempat kejadian, van yang dipandu mangsa telah dihempap sebatang dahan pokok ru yang tiba-tiba tumbang.


“Ekoran itu, bahagian depan van tersebut remuk hingga menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mayat mangsa dihantar ke hospital Langkawi untuk dibedah siasat dan dibawa balik ke rumah arwah sekejap dan di sembahyangkan di Masjid Kg Padang Lalang kemudian dikebumikan jam 7.00 petang kemarin.

Sehubungan dengan itu, kesesakan jalanraya hanpir 3 km selama 2 jam berakhir apabila pihak bomba menebang ranting pokok dan mengalihkan talian letrik yang melintang jalanraya.

Aliran kenderaan kembali normal setelah kehadiran pihak polis trafik ditempat kejadian.

12 February 2015

Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini jam 8.45 malam.
 Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan lewat malam ini menyebut, Nik Abdul Aziz sudahpun dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

TG Nik Aziz dilaporkan telah dibawa pulang dengan berbantukan bekalan oxygen.

Sebelum ini anaknya Nik Mohamad Abduh menyatakan tahap kesihatan ayahnya kini kembali merosot.

“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas jalani rawatan pada ulsernya semalam."

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Nik Abduh menyatakan solat jenazah akan diadakan pada jam 10.00 esok pagi di masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Allahyarham dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

10 February 2015

Mahkamah mengambil kira beberapa faktor dan kekalkan tempoh penjara 5 tahun setelah disabitkan bersalah.

Keadaan di Mahkamah, masih lagi terkawal walaupun para penyokong Anwar yang tidak berapa kerat sedang berkumpul.

FRU sudah bersedia mengawal keadaan dan bersedia membawa Anwar Ibrahim ke penjara... tak pasti sama ada penjara Sungai Buloh atau Kajang.

Berikut adalah kronologi sebelum mahkamah membuat keputusan:

1.42 tengahari: Pihak hakim bersetuju untuk membenarkan Anwar memberikan kenyataan kepada mahkamah. Malangnya, Anwar Ibrahim menggunakan peluang tersebut untuk menyatakan bahawa ini adalah konspirasi besar untuk menjatuhkan beliau.

Hakim meminta Anwar Ibrahim untuk berhenti, namun beliau masih meneruskan insiden itu dengan menuduh mahkamah pula terlibat dengan konspirasi tersebut.

Hakim mengambil keputusan untuk meninggalkan kamar mahkamah kerana Anwar Ibrahim gagal untuk mematuhi arahan hakim.

Anwar Ibrahim kemudian menjerit di dalam kamar mahkamah menyatakan bahawa beliau tidak akan berhenti untuk memperjuangkan nasibnya.


1.40 tengahari: Shafee turut menyatakan bahawa Mahkamah melakukan kesalahan serius sekiranya meletakkan kesalahan tersebut kurang daripada 6 tahun. Sepatutnya kesalahan kali kedua ini perlu dihukum dengan lebih keras dan berpatutan dengan keputusan mahkamah seluruh dunia.

1.34 tengahari: Shafee pula menyatakan bahawa Anwar Ibrahim perlu mendapat hukuman penjara maksimum 20 tahun tetapi sebatan tidak perlu kerana faktor usia.

Ini adalah kesalahan yang kedua beliau dan kesan daripada kes ini memberikan impak kepada mental dan masa depan Saiful Bukhari. Malah kes Anwar Ibrahim hendak menyaman Saiful Bukhari juga ditarik balik oleh Anwar sendiri.

Shafee turut merujuk kepada kes Datuk Harun yang sebelum ini tidak mendapat pengurangan dari pihak mahkamah walaupun beliau merupakan bekas pemimpin kerajaan.

1.31 tengahari: Gopal menyatakan bahawa tiada alasan yang cukup untuk memanjangkan hukuman terhadap Anwar Ibrahim berdasarkan fakta kes.

1.18 tengahari: Peguambela Anwar Ibrahim, Gopal Sri Ram telah memulahkan dengan merayu supaya hukuman Anwar Ibrahim dipendekkan kepada tempoh 2 tahun sahaja.


Beliau berhujah dengan alasan Anwar Ibrahim bekas pemimpin kerajaan dan juga merupakan Ketua Pembangkang. Gopal juga menyatakan faktor usia dan kesihatan Anwar Ibrahim.
Setelah lebih 6 tahun 5 bulan 10 hari

Sekitar pukul 9 pagi ini, panel lima hakim yang dike­tuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan masuk ke Dewan Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, Putrajaya dan duduk di kerusi masing-masing.

Selepas berbasa-basi, salah seorang daripada panel tersebut akan mula membacakan penghakiman kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Panel hakim ter­sebut turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

 Keputusan mahkamah terting­gi negara itu adalah berikutan rayu­an Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan terhadap sabi­tan salah dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu. 

Keputusan Mahkamah Rayu­an itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar pada 9 Januari 2012. Ketetapan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

Kes liwat berke­naan merupakan pertuduhan kali kedua yang pernah dihadapi oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Kali pertama, Anwar didakwa meliwat pemandu keluarga Anwar, Azizan Abu Bakar, di apartmen milik adik ang­kat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Tivoli Villa, Bangsar di sini antara Januari dan Mac 1993.

 Beliau bagaima­napun dilepaskan dan dibebaskan da­ripada pertuduhan tersebut di peringkat Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1. Penghakiman majoriti tersebut ditulis oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik Ketua Hakim Negara (kini bersara).

 Dalam penghakiman itu, Abdul Hamid berkata: “Kami mendapati wujud kete­rangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala ...” Semestinya, pada ketika penghakiman dalam kes terkini yang dihadapinya dibacakan, Anwar mengharapkan keputusan akan berpihak kepada dirinya.

Sekiranya gagal di peringkat ini, Anwar bakal berdepan pula dengan kemungkinan bahawa hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini dipanjangkan. Selain itu, beliau menghadapi kemungkinan kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dipegangnya kini.

Anwar, 67, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 30, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Atas faktor usia, Anwar tidak akan dikenakan hukuman sebatan. 

08 February 2015


Pada 6hb Feb 15 bermulalah satu lagi demensi baru kearah menjadikan masyarakat sihat melalui program "Komuniti Sihat Perkasa Negara, KOSPEN" di kg Sungai Itau, Langkawi.

Walau bagaimana pun, melalui mesyuarat Jkkk Kg yang berlangsung pada 2hb Feb 15 yang lalu bersetuju supaya semua masyarakat setempat menyahut cabaran kerajaan untuk menjadikan sebuah komuniti sihat.


"Kita kena mulakan dulu supaya orang ramai menaruh minat dalam program ini" menurut Abd Halim Man selaku pengerusi Biro Kesihatan dan Keceriaan.

"10,000 ribu langkah dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan", katanya lagi.

Program ini akan dilaksanakan setiap hari jumaat jam 7.00 pagi dan ini juga merupakan program setiap minggu bagi Jkkk Kg Sg Itau.


Program "Komuniti Sihat Perkasa Negara" (KOSPEN) adalah inisiatif yang telah dicetuskan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S. Subramaniam pada Julai 2013 dalam usaha menangani masalah peningkatan bebanan Penyakit Tidak Berjangkit (Non Communicable Disease, NCD) di negara ini. 

Inisiatif ini merupakan satu transformasi perkhidmatan kesihatan awam dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan rakyat Malaysia melalui pemerkasaan serta peluasan penglibatan masyarakat dalam program kesihatan awam dengan menggabungkan mekanisma kerajaan sedia ada terutamanya di peringkat akar-umbi.


Pelaksanaan inisiatif ini adalah melalui pendekatan yang agresif dengan penubuhan functional units yang terdiri daripada sukarelawan dari kalangan masyarakat di seluruh Negara yang akan bertindak sebagai health agent of change. Kumpulan sukarelawan ini dikenali sebagai Pasukan Gerak Sihat Malaysia atau singkatannya GSiM.


KOSPEN fasa pertama telah mendapat sokongan daripada YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi inisiatif KOSPEN bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). 

KEMAS dipilih mejadi agensi pertama di dalam melaksanakan kolaborasi ini kerana KEMAS merupakan agensi yang berhubung rapat dengan masyarakat di peringkat akar umbi. 


KOSPEN telah dilaksanakan secara rintis di Segamat, Johor mulai Oktober 2013. Majlis Pelancaran KOSPEN KEMAS Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 13 Februari 2014 di Segamat, Johor dan dirasmikan bersama oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia dan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. 

Satu nota persefahaman juga telah ditandatangani ileh kedua-dua kementerian ini. Inisiatif ini akan dikembangkan dari masa ke masa dengan melibatkan lain-lain agensi di negara ini.