Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi,
berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan
Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal
Azilin Muadzam Shah (1797-1803) di Kedah, yang mana pada waktu itu, ibu bapa
Mahsuri yang bernama Pandak Mayah dan Endak Alang baru saja berhijrah ke
Langkawi dari Selatan Thailand, demi mencari masa depan yang lebih baik.
Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban
apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak
walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui
kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah
mengerjakan sawah. Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang
ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu
Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan.
Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang
luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung
layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari
Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak
Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.
Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu
sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat
demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara
pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya
kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan
setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya,
malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang,
sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita,
yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.
Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu
Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa
resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila
Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan
Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya
juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah
tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya
merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan
keinginan terhadap Mahsuri.
Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran
dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh
disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi
isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di
hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana
kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga
seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.
Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam
bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku.
Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri
Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang
hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi
dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini
termasuklah Wan Darus.
Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya
yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau
seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu
terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau
sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka
lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang
dinamakan Wan Hakim.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri
bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi,
seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah
tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri,
Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan
bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi
yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu
menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir
setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.
Kemahsyuran melimpah ruah yang diperolehi oleh Mahsuri itu
ternyata tidak disenangi sesetengah orang, yang tentunya iparnya sendiri, Wan
Mahora yang telah sekian lama menyimpan rasa dendam dihati. Tambahan pula
kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan orang, berbanding iparnya
sendiri, Mahsuri. Iri hati yang telah lama tersimpan bertukar menjadi luka yang
bernanah dan Wan Mahora mengambil keputusan, sampai masa Mahsuri harus menerima
balasan! Sesuatu rancangan sedang bercambah dalam pemikirannya...
Wan Mahora memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang dan
disitu, beliau melihatnya sebagai peluang yang tak patut dilepaskan. Isteri
pembesar itu membisikkan kata-kata racun kepada suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan
Yahya. Pada mulanya Wan Yahya tidak mengendahkan tapi apabila sudah tidak mampu
menahan asakan, Wan Yahya bertindak untuk memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri.
Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat
naik ke rumah Mahsuri yang tanpa disedari Deramang hanya diminta untuk menjaga
anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang. Lantas, Datuk
Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya, diketuai oleh Panglima Hitam,
menangkap Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai Adat di sebuah tempat bernama
Padang Mat Sirat untuk diadili bersama-sama Deramang. Dan tanpa diberi peluang
untuk membela diri, Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh! Wan Mahora
dalam diam tersenyum puas...
Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat dengan apa yang
dikhabarkan orang mengenai anaknya lantas bergegas menuju ke Padang Mat Sirat
demi membela Mahsuri. Pandak Mayah menawarkan segala emas, kerbau dan segala
harta kekayaannya demi nyawa puteri tunggalnya namun ditolak mentah oleh Datuk
Pekerma Jaya, dengan alasan, dosa yang dilakukan Mahsuri-bermukah dan melakukan
hubungan sulit dengan lelaki lain tidak dapat diampunkan. Mahsuri dibawa
ketempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Deramang cuba menentang namun
berjaya dia dibunuh oleh orang-orang Datuk Pekerma. Dan kini tiba masa giliran
Mahsuri.
Tempat hukuman tersebut dipenuhi oleh orang kampung yang
ingin menyaksikan hukuman yang bakal diterima oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan
Endak Alang masih belum putus asa masih terus cuba merayu dari Datuk Pekerma
dan Wan Mahora demi nyawa Mahsuri dan anaknya yang baru berusia dua bulan dan
masih menyusu. Namun langsung tidak mendapat simpati dari pembesar itu.
Padanya, aib yang dilakukan Mahsuri terlalu besar dan memalukannya sebagai ipar
kepada Mahsuri. Sebatang tombak ditikam ke badan Mahsuri tapi dengan kuasa
Allah, amat mengejutkan semua mereka yang berada ditempat hukuman, tombak
tersebut langsung tidak dapat menembusi malah melukakan tubuhnya! Keadaan ini
memaksa pertanda menikam Mahsuri bertubi-tubi. Ini menjadikan keadaan bertambah
kalut, dan pastinya mencemaskan Wan Mahora, seandainya peristiwa aneh ini akan
dapat membuktikan yang Mahsuri tidak bersalah pastinya akan mengundang aib
kepadanya. Lantas Wan Mahora menyeksa Mahsuri demi memberitahunya akan rahsia
bagaimana hendak membunuh Mahsuri.
Mahsuri yang terlalu lemah dan tidak bermaya sudah tidak
mampu menahan seksaan dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora, lantas dengan berat
hati yang teramat sangat terpaksa memberitahu akan sebuah rahsia keluarga yang
telah lama terpendam. Seorang utusan dititahkan bergegas ke Kampung Mawat,
untuk mendapatkan sebilah keris pusaka keluarga Pandak Mayah yang didakwa
Mahsuri, satu-satunya senjata yang dapat memutuskan nyawanya. Tanpa membuang
masa apabila keris itu berjaya diperolehi, Datuk Pekerma sendiri mengambilnya
dan menikam Mahsuri! Tikamannya menembusi rusuk kiri dan buah dada Mahsuri.
Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menantikan nyawa melepasi
kerongkongnya...Mahsuri melafazkan kata-kata yang bakal diingati sepanjang
zaman...
" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha Melihat Segalanya, aku
redha akan matiku jika benar aku bersalah tapi jika benar aku
dianiaya...ssesungguhnya aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini, dan aku
sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman, berpuakalah menjadi padang jarak padang tekukur
selama tujuh keturunan!"
Dan lebih memeranjatkan, darah yang mengalir dari luka
tikaman itu berwarna putih, membuktikan penganiayaan yang berlaku
keatasnya...namun segalanya sudah terlambat. Mahsuri terkulai dan menghembuskan
nafas yang terakhir. Kuasa Allah Yang Maha Besar, kilat sabung menyabung dan
ribut melanda Padang Mat Sirat. Kejadian yang menyusul kematian Mahsuri
membuktikan yang dia tidak bersalah dan orang ramai mula mengutuk tindakan
membabi buta yang dilakukan oleh Datuk Pekerma Jaya. Tapi, segalanya sudah
terlambat...
Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah
di Kuala Muda namun kekecewaan yang sedang ditanggungnya bertimpa-timpa lagi
apabila menerima berita kematian isteri tercinta. Harapan untuk kembali bersama
keluarga yang sekian lama dirindui punah dan hancur. Dengan itu, bersama
langkah yang berat, Wan Darus mengambil keputusan untuk meninggalkan Langkawi
yang sudah tidak lagi menjanjikan kebahagiaan padanya, bersama anaknya Wan
Hakim serta kedua ibu bapa mertuanya, Pandak Mayah dan Endak Alang. Tetapi,
keadaan masih belum berakhir di Langkawi...
Tentera Siam mara keseluruh pelusuk Kedah, termasuklah Pulau
Langkawi, genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri. Segalanya punah, hancur
dan kematian berlaku dimana-mana. Datuk Pekerma Jaya dibunuh dan dilapah oleh
tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah. Manakala isterinya
Wan Mahora, bersama wanita-wanita Langkawi yang lain, dirogol dan dijadikan
hamba abdi oleh tentera Siam. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi
menerima padah yang terlalu hebat. Penyesalan sudah tidak berguna lagi
sebaliknya Langkawi hanya mampu menerima bahana, dan sumpahan Mahsuri kekal
menghukum Langkawi untuk tujuh keturunan kemudiannya...
0 ulasan :
Post a Comment