LANGKAWI: FELDA akan membina rumah pasang siap sebagai rumah
mampu milik untuk generasi kedua kerana langkah itu lebih cepat dan murah, kata
Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Samad.
"Rumah pasang siap ini ada beberapa model dan kita akan
pilih model yang sesuai berdasarkan keluasan tanah. Paling lewat kita boleh
laksana Januari tahun depan dan kita juga mampu bina lebih 4,000 unit
setahun," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.
Mohd Isa berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 40,000
generasi kedua FELDA yang berkeluarga dan tidak berminat keluar dari tanah
rancangan serta masih menumpang di rumah ibu bapa.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung
ketiga Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), diminta mengulas mengenai Belanjawan
2013 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen
semalam.
Menerusi belanjawan itu, FELDA antara lain diberi
tanggungjawab membina 20,000 unit rumah untuk generasi baharu dalam tempoh lima
tahun dan diperuntuk RM60 juta bagi membaiki rumah tradisi di bawah program
'Kasih Felda'.
Mengenai program 'Kasih Felda', Mohd Isa berkata, sebanyak
100 unit rumah telah siap diperbaiki dan lebih 600 lagi dalam proses untuk
dilaksanakan.
Katanya, FELDA membelanjakan lebih RM650 juta kepada
peneroka menerusi pinjaman sehingga RM40,000 masing-masing, bagi membina atau
membaiki rumah.
Mohd Isa juga yakin FELDA berupaya melaksanakan
tanggungjawab yang diberi kerajaan menerusi Belanjawan 2013.
Mengenai MBFM, beliau berkata, badan itu merupakan
pertubuhan belia paling aktif dan berjaya di negara ini.
Mesyuarat itu dihadiri 180 perwakilan dari 317 rancangan
FELDA seluruh negara dan antara agenda ialah memilih jawatankuasa baharu bagi
penggal 2012/2014. - BERNAMA
0 ulasan :
Post a Comment