BUKIT MERTAJAM, 28 Sept - Seorang penganggur yang
cedera parah dipukul orang ramai kerana mencuri sebuah telefon bimbit milik
seorang pemandu lori Jumaat lepas, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam
(HBM) di sini, awal Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli
Mohd Noor berkata mangsa, Ooi Sim Guan, 38, mati pada pukul 12.40 pagi ini
selepas kira-kira 36 jam tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital
berkenaan.
"Dalam kejadian pada pukul 2 petang Jumaat lepas,
mangsa telah menahan sebuah lori di tepi jalan di Taman Sejahtera di sini dan
memberitahu pemandu berkenaan dia ingin menumpang ke Bandar Bukit Mertajam.
"Pemandu lori berkenaan yang berusia 33 tahun yang
sedang dalam perjalanan ke Kulim kemudian membenarkan mangsa menaiki lorinya
namun selepas satu kilometer, mangsa memaklumkan ingin turun," katanya
pada sidang akhbar di sini Ahad.
Beliau berkata selepas lelaki itu turun, pemandu lori
berkenaan menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan dalam tempat penyimpanan
barang di bahagian penumpang telah hilang dan dia berpatah balik ke Taman
Sejahtera untuk mencari lelaki terbabit.
"Pemandu lori itu menemui lelaki berkenaan di kawasan
padang berhampiran rumah kedai dan berlaku pertengkaran antara mereka apabila
telefon bimbit yang hilang ditemui bersama mangsa," katanya.
Rusli berkata berlaku pergelutan dan beberapa lelaki yang
berada di kawasan itu turut memukul mangsa dan pada masa yang sama seorang
individu bertindak merakam kejadian tersebut menerusi telefon bimbit yang
kemudiannya memuat naik rakaman itu di laman sosial.
Katanya susulan kejadian itu, polis menahan pemandu lori
terbabit di sini bagi membantu siasatan.
"Kita menghargai tindakan orang awam (yang mahu
menangkap penjenayah), tetapi jangan bertindak sewenang-wenangnya sehingga
melampaui undang-undang. Sepatutnya jika berlaku sebarang kejadian jenayah
tangkap dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. -
BERNAMA
0 ulasan :
Post a Comment