LANGKAWI - Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari semalam,
sepasukan anggota dan pegawai polis Bukit Aman serta Pasukan Polis Marin (PPM)
menyerbu kapal mewah berkenaan selepas menerima maklumat suspek memiliki
senjata api.
Suspek lelaki yang juga warga Afrika Selatan berusia 43 tahun
manakala wanita warga Thailand berusia 30-an dikatakan berada di Malaysia sejak
beberapa minggu lalu dan melabuhkan kapal mewah itu di jeti pulau berkenaan
untuk melancong.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemeriksaan
menemui raifal serta peluru disimpan di bahagian enjin kapal berkenaan.
“Kami juga mendapati, pemilik kapal mewah berkenaan yang
juga warga Afrika Selatan itu tidak memiliki dokumen pengesahan untuk menyimpan
senjata api berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek menjadikan kapal mewah
miliknya sebagai tempat menyimpan senjata api dan peluru oleh pemilik kapal
lain yang berlabuh di situ,” katanya pada sidang media selepas merasmikan
Majlis Penutup Kawad Senjata Piala Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman seminggu bagi
membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api
(penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur
hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,
sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebihi
RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Kami juga masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek anggota
kumpulan jenayah atau sebaliknya. Siasatan awal mendapati senjata api terbabit
diperoleh dari negara lain untuk tujuan tertentu,” katanya.
0 ulasan :
Post a Comment