23 March 2015


Langkawi: Asap tebal berwarna-warni iaitu hijau, merah, putih dan hitam yang memenuhi ruang udara Langkawi sejak Selasa lalu, menjadi lambang warna bendera negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melakukan persembahan cukup memukau pada LIMA’15 kali ini.

Pasukan Al-Fursan UAE yang pertama kali menyertai LIMA’ 15 membuat persembahan aerobatik sehingga mendapat pujian pengunjung yang sentiasa menantikan kemunculan pesawat negara berkenaan.

Ketua Pasukan, Leftenan Kolonel Nasser Ahmed Al Obaidli berkata, tujuh jet pejuang jenis MB339 digunakan dalam persembahan aerobatik itu sebenarnya melambangkan tujuh negeri dalam UAE iaitu Abu Dhabi, Dubai, Sharjah, Ajman, Um Al Quain, Ras Al Khaima dan Al Fujairah.


“Kami teruja dan gembira kerana baru pertama kali menyertai LIMA’15. Rakyat di negara ini sangat baik hati dan peramah. Oleh itu kerajaan UAE bersetuju untuk menghantar pasukan Al-Fursan ke sini untuk memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia.

“Kami mengambil masa tiga hari untuk sampai ke Malaysia bagi menyertai LIMA’15. Kami berlepas dari UAE dan singgah di beberapa negara termasuk India sebelum ke sini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 40 kru termasuk tujuh juruterbang Al-Fursan dari Tentera Udara UAE datang awal untuk menyertai LIMA’15.

“Sebelum ini, kami pernah mengadakan pertunjukan di beberapa negara termamsuk Oman, Kuwait, China, Bahrain, Itali dan Belgium,” katanya.


Nasser berkata, pengalaman membuat persembahan di Malaysia sempena LIMA’15 adalah pengalaman menarik kerana dapat berjumpa dengan rakyat negara ini yang baik hati.

Katanya, semua juruterbang pasukan itu yang ditubuhkan pada 2010 mendapat latihan intensif di Itali bagi membuat persembahan aerobatik sebelum pulang ke tanah air mereka.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berpeluang bertemu secara eksklusif, berasa teruja dapat melihat sendiri kecekapan dan disiplin tinggi juruterbang serta kru dalam membuat persiapan sebelum mereka melakukan persembahan.

Sebelum melakukan penerbangan, juruterbang akan membuat persiapan satu jam lebih awal termasuk memakai pakaian khas dan melakukan pemeriksaan sendiri enjin pesawat berkenaan meskipun sudah dilakukan kru sokongan.

Tahap disiplin yang tinggi ditunjukkan apabila mereka bergerak dalam keadaan berkawad seiringan ketika berjalan menuju ke pesawat masing-masing sambil membawa topi keledar dan melakukan persiapan akhir sebelum terbang.


Sebagai ‘simbolik’ tujuh pesawat ini akan melepaskan asap ‘warna warni’ sebagai tanda isyarat akan memulakan penerbangan aerobatik dengan lima pesawat berlepas dahulu sebelum dua pesawat menyusul.

22 March 2015


Ini lah jadinya kalau ikut sangat cakap majikan bulat-bulat, sampai dorang suruh buat video menghina agama pun ikut. Agaknya dah jadi lembu cucuk hidung dah kot si Aisyah Tajuddin ni.

Pasal ikut kehendak orang lain last-last diri sendiri yang dikecam. Padahal dia buat video pasal Hudud tu sebab pihak The Business Radio Station (BFM) ni yang suruh. Sampai Aisyah ni terima ugutan bunuh la, bukan takat tu ja.. Siap di ugut rogol lagi.

Wuuuu.. Serammm ! Itulah lain kali kalau permintaan yang bertetangan dengan agama ni jangan dibuat main. Nampak sangat macam permikiran cetek pasal agama. Dalam Al-Quran pun Hudud ni dituntut tauu bagi umat Islam.

Lihat Video DISINI


Haishhh !! Berani Buat berani tanggung la yer, walaupun pihak BFM dah tarik balik video tu.. Tapi dah jadi Viral pun. Tak berguna lagi dah. Bertaubat jela sebelum terlambat yer.

18 March 2015

LANGKAWI - Projek Paddle for Nature tiba di destinasi terakhirnya, di Kuah yang menyaksikan berakhirnya ekspedisi kayak secara solo bagi merakam visual di pesisir pantai Semenanjung Malaysia.

Projek kerjasama antara Persatuan Pencinta Alam Sekitar (MNS) dan Google Malaysia ini menggunakan sebuah kayak dilengkapi Google Street View Trekker, yang pertama seumpamanya di dunia.

Ketua Operasi Street View, Google Malaysia, Nhazlisham Hamdan berkata, Street View Trekker mempunyai 15 kamera dan boleh dipasang di pelbagai jenis pengangkutan serta mampu merakam imej panorama 360 darjah (paras jalan).

“Di Malaysia, alat itu dipasang di beg sandang khas, kereta, basikal tayar tiga, motosikal, troli termasuk kayak,” katanya ketika hadir menyambut ketibaan Che Zahiruddin Che Othman, 20, yang tiba di Kuah menamatkan ekspedisi kayak secara solo bermula 9 September lalu dari Pengkalan Kubor, Kelantan.


Ekspedisi itu menuju ke Johor merentasi Selat Melaka, dan selepas 26 minggu, ia tiba ke destinasi terakhirnya, Kuah, baru-baru ini.

Nhazlisham berkata, selain menjejak pesisir pantai, kayak terbabit turut mengelilingi Pulau Kukup di Pontian.

“Imej dari Georgetown dan Penang State Park juga dirakam serta kawasan pesisir sekitar Langkawi dan pulau-pulau berhampiran,” katanya.

Menurutnya, Google Malaysia menyokong misi konservasi MNS ini, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan warisan laut termasuk usaha pihak berkaitan yang berjuang melindungi harta bernilai ini.

“Pada masa sama, menjana dana untuk projek konservasi marin pada masa depan,” katanya.

Nhazlisham berkata, sejak 2013, Google Street View mengelilingi Malaysia merakam imej-imej di negara ini dan pada tahun lalu, menerbitkan hampir 90 peratus imej terbabit terutama di jalan-jalan awam di Semenanjung Malaysia termasuk lebuhraya utama dan jalan bertol,
jalan negeri, pusat bandar dan kawasan kejiranan.

“Di bahagian di mana terdapatnya Street View, imej itu boleh diakses dengan menggerakkan ikon pegman berwarna kuning di sebelah kanan peta atau map ke atas kawasan berwarna biru. Pengguna juga boleh mencari destinasi tempatan dan kawasan di mana terdapatnya
imej Street View dari carousel di bawah skrin,” katanya.

Menurutnya, dengan membawa Street View ke Malaysia, Google berharap dapat menyediakan perkhidmatan peta atas talian kepada rakyat Malaysia dan pada masa sama memberikan lebih banyak kaedah meneroka kawasan kegemaran atau tempat-tempat baharu.


“Sebagai tambahan ia turut membantu perkembangan ekonomi melalui pemetaan yang lebih baik,” katanya.

17 March 2015

LANGKAWI - Kerajaan akan menaik taraf ruang Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini dan kawasan sekitarnya bagi memberi nafas baharu penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi pada 2015 (LIMA '15).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu memandangkan peningkatan yang begitu ketara daripada segi pempamer, pedagang dan kehadiran pengunjung yang meningkat setiap kali acara dwitahunan itu diadakan.

Katanya, LIMA '15 juga akan diadakan pada Mac bertepatan dengan musim cuti sekolah.


"Tahun ini, kita telah membelanjakan sebanyak RM25 juta untuk menaik taraf MIEC. Tahun depan, kita akan menaik taraf ruang pameran, ruang tinjau dan kawasan hadapan MIEC bagi memberi keselesaan kepada pedagang serta pengunjung.


"Tahun ini, kita terpaksa melakukan majlis perasmian di luar MIEC kerana kehadiran wakil pempamer bertambah hingga tidak muat untuk menempatkan kesemua mereka di dalam bilik-bilik persidangan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup LIMA '13 di sini semalam.




Turut hadir Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad.


15 March 2015


LANGKAWI: Dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA '15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, sebentar tadi.

Nahas kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berselisih dan terbabas.


Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.



Beberapa saksi melihat juruterbang sempat melompat keluar dengan payung terjun sebelum pesawat terhempas. Namun nasib kedua-dua juruterbang masih belum diketahui.



09 March 2015

LANGKAWI - Cuaca panas yang sudah sebati dengan Andrea Guardini memberikan kelebihan kepada pakar pecut tersebut mengulangi pencapai­annya tahun lalu dengan menakluk peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semalam.

Pelumba dari pasukan berstatus World Tour, Astana Pro Team Pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan peringkat mengelilingi Pulau Langkawi, yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang itu dalam masa 2 jam 18 minit 56 saat untuk merangkul dua jersi sekali gus, iaitu jersi kuning selaku pemenang individu keseluruhan dan biru (Raja Pecut).

Malah, kejayaan tersebut melakar rekod baharu buat pelumba kelahiran Itali itu dengan 15 kemenangan peringkat sepanjang lima kali berturut-turut menyerta LTdL.

Tempat kedua dimenangi pelumba Australia yang mewakili Orica Greenedge, Caleb Ewan dengan catatan masa 2.19’00”, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan ketiga.
Peringkat pertama juga menyaksikan jersi merah selaku Raja Bukit dimiliki pelumba Unitedhealthcare Professional Cycling Team, Kiel Reijnen dari Amerika Syarikat, manakala jersi putih (pelumba terbaik Asia) kepunyaan Guantong.


“Saya tiada masalah dengan cuaca panas mahupun sejuk dan keserasian ini memberikan saya satu kelebihan yang tiada pada pelumba lain.

“Saya gembira kerana dapat membalas kepercayaan pasukan memandangkan saya baru pulang dari kejohanan di Oman dan Dubai.


“Kemenangan ini adalah permulaan yang baik dalam LTdL dan turut menyuntik semangat saya untuk meraih kemenangan di peringkat sete­rusnya,” kata pelumba yang mewakili pasukan berpangkalan di Kazakhstan itu selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, perlumbaan peringkat kedua hari ini, yang akan bermula di Alor Setar dan berakhir di Sungai Petani sejauh 185 kilometer melibatkan tiga zon pecutan iaitu di Pokok Sena, Kuala Nerang dan Tandop Besar serta tiga pendakian di Jeniang dan Bukit Selambau.


Dalam pada itu, Ewan, 21, menyifatkan tempat kedua yang dimenanginya itu juga merupakan permulaan yang baik memandangkan dia pertama kali menyertai LTdL.

“Beza empat saat di belakang Andrea adalah suatu keputusan yang memberangsangkan.



“Kalau nak diikutkan, dia mempunyai banyak pengalaman di sini. Tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak berusaha merampas jersi ku­ning dalam perlumbaan seterusnya,” kata pelumba dari Australia itu.

04 March 2015

Semakin kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan cerita mengenai ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan meliwatnya reda, sebaliknya di pihak beliau dan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta sekutu Pakatan Rakyat (Pakatan) nampaknya lebih cenderung untuk terus mensensasikan isu tersebut demi kepentingan politik mereka.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sekaligus menyaksikannya dijatuhi hukuman penjara lima tahun, seperti yang sudah dijangka, terus cuba dimanipulasikan semaksimum yang mungkin oleh pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai usaha mereka memperlihatkan kepada rakyat negara ini kononnya Malaysia dipimpin oleh sebuah kerajaan yang zalim. Berturut-turut usaha digerakkan oleh orang-orang kanan Anwar baik ‘yang bertamadun’ ataupun ‘yang tidak bertamadun’ di dalam menunjukkan protes mereka terhadap keputusan mahkamah yang ‘zalim’ pada pandangan mereka itu.

Anwar sendiri di dalam usahanya untuk memperoleh ‘pulangan’ daripada publisiti berterusan kesnya itu pula bagaimanapun kelihatannya agak kucar-kacir di dalam percaturan beliau selain semakin tidak konsisten di dalam menyatakan pendiriannya berhubung kesalahan meliwatnya itu. Tindakan yang diambil beliau serta penyokong-penyokongnya telah beberapa kali terbukti bercanggah dengan kenyataan-kenyataan yang beliau sendiri umumkan.

Imbas kembali kata-kata Anwar di dalam ucapan beliau kepada para penyokongnya sehari sebelum dihukum penjara, dengan lantang dan tegasnya ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan tidak takut sekiranya beliau dipenjarakan. Perjuangannya untuk rakyat ujar Anwar, akan tetap diteruskan sekalipun beliau meringkuk di dalam penjara.

Namun begitu hanya setelah beberapa hari menjalani hukuman, dengan liputan berita mengenai dirinya terus menjadi topik utama kebanyakan organisasi media terutamanya yang ‘mesra pembangkang’ setiap hari, nada ‘heroic’ Anwar seakan-akan pudar apabila membuat permohonan pengampunan DiRaja yang dikemukakan kepada yang Dipertuan Agung, yang sekaligus mengekalkan statusnya selaku ahli Parlimen buat masa ini sehinggalah keputusan permohonan pengampunan diketahui.

Untuk rekod, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kelayakan seseorang ahli Parlimen itu terlucut sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Beberapa hari selepas permohonan pengampunan dikemukakan, partinya, PKR telah menyatakan hasrat untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya membenarkan Anwar yang merupakan Ketua Umum parti itu untuk menghadiri Sidang Parlimen yang bakal bermula 9 Mac ini dengan alasan beliau masih lagi berstatus seorang ahli Parlimen.

Perkara ini telah menimbulkan persoalan di kalangan pelbagai pihak yang mengikuti perkembangan cerita liwat ini yang seolah-olahnya tidak berpenghujung dan tidak surut dengan ‘drama’. Antara persoalan yang dibangkitkan adalah bolehkah seorang banduan yang sedang menjalani hukuman menyertai sesi perbahasan di dalam persidangan Dewan Rakyat, berbahas dan memainkan peranannya selaku penggubal undang-undang.

Penulis cuba membayangkan bagaimanakah situasinya sekiranya Anwar, yang secara teknikalnya seorang banduan, dan dalam masa yang sama juga secara teknikalnya masih lagi seorang ahli Parlimen, dibenarkan untuk menyertai persidangan Dewan Rakyat itu.

Pastinya ia bakal menjadi satu lagi ‘fenomena’ di luar daripada ‘norma’! Sekiranya ia berlaku, penulis tidak menolak kebarangkalian akan terbitnya sebuah buku bertajuk ‘A Convict in The House’.

Kembali serius, secara peribadi penulis berpendapat isu ini lebih membawa impak yang negatif kepada rakyat Malaysia secara umumnya bagi jangka waktu panjang daripada yang positif. Hakikatnya, tak salah sekiranya penulis menyatakan impak positif isu ini hanyalah kepada Anwar dan sekutunya semata-mata, tidak sama sekali memberikan faedah kepada rakyat ‘yang diperjuangkan’ Anwar.

Perlu ditegaskan bahawa sekiranya kebenaran diberikan kepada Anwar, ia akan menjadi satu peristiwa bersejarah buat sistem demokrasi di Malaysia dan sudah pastilah akan terus menjadi sebutan dan rujukan bagi satu jangka masa yang panjang, sesuatu yang sememangnya disasarkan Anwar dan orang-orang kanannya, publisiti yang berterusan. Pakatan pasti akan sehabis boleh memanipulasikan cerita liwat ini untuk kepentingan politik mereka.

Sementara dari sudut moral pula, penulis percaya majoriti rakyat Malaysia pastinya tidak sanggup lagi mendengar ataupun membaca perkataan liwat ataupun apa-apa cerita mengenai kes Anwar meliwat ini apatah lagi untuk jangka panjang.

Seperti yang telah dinyatakan, sekiranya Anwar diberi kebenaran untuk menyertai sesi Dewan Rakyat, ia akan menjadi sejarah. Pastinya kita tak sanggup untuk melihat fakta bersejarah di negara ini berlatarbelakangkan kisah banduan yang dijatuhi hukuman penjara kerana meliwat. Bagai langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi di India dan juga Nelson Mandela di Afrika.

Seharusnya pimpinan pembangkang termasuklah Anwar sendiri berlapang dada menerima hakikat yang berlaku. Dan sekiranya benar kepentingan rakyat merupakan agenda utama perjuangan mereka, cerita liwat ini haruslah dihentikan serta-merta dari terus disensasikan kerana mahu atau tidak perlu diakui ia membawa kepada pengaruh yang tidak baik kepada generasi muda. Jika pembangkang selama ini mendakwa kerajaan sebagai tidak bermoral dalam cerita Anwar meliwat ini, secara jujurnya penulis lihat pihak pembangkang sendiri sebenarnya yang tidak sudah-sudah memberikan publisiti kepada kes ini hingga ke peringkat antarabangsa liputan mengenainya diberikan.

Hakikatnya yang perlu diberi perhatian oleh penyokong-penyokong setia pembangkang yang sanggup berkorban nyawa demi pemimpin mereka adalah ‘idola-idola’ mereka sebenarnya tidak peduli akan kesukaran yang ditempuhi mereka. Agenda memperjuangkan rakyat juga tidak lebih dari sekadar retorik semata-mata.


Sebaliknya pemimpin kesayangan mereka ini lebih berselera untuk mengorbankan para pengikut setia demi kepentingan untuk berkuasa seperti yang sudah terang lagi bersuluh dibuktikan oleh pemimpin ‘anugerah tuhan’ mereka yang sejak dari dipenjarakan kelihatan begitu sibuk sekali ‘berjuang’ untuk diri sendiri, bukannya untuk rakyat seperti yang dimomokkan sehari sebelum dipenjara. By Aidil Syukri

03 March 2015

Seorang pelajar warga Jepun Saaya Harada, 18, membuktikan kejayaan pasti menjelma sekiranya berusaha dengan gigih tanpa mengenal erti jemu.

Gadis berkenaan yang menjejakkan kaki ke negara ini tanpa boleh bertutur bahasa Melayu mampu memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Langkawi yang kini boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan adalah calon tunggal sekolah itu yang mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Yamaguchi, Jepun itu tiba di Langkawi pada 2007 kerana mengikut ibu bapanya yang bekerja di sini.

"Saya langsung tidak boleh bercakap sepatah pun bahasa Melayu tapi sekarang gembira apabila lulus cemerlang dalam bahasa itu dalam SPM.

"Kejayaan ini amat menggembirakan dan saya bercadang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang perubatan," katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan SPM di sekolah itu, hari ini.


“Saya memperoleh A+ dalam Matematik, manakala bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik Tambahan dan Biologi (A) dan Pendidikan Moral serta Fizik (A-),” katanya.