Semakin kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan cerita
mengenai ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan
meliwatnya reda, sebaliknya di pihak beliau dan partinya, Parti Keadilan Rakyat
(PKR) serta sekutu Pakatan Rakyat (Pakatan) nampaknya lebih cenderung untuk
terus mensensasikan isu tersebut demi kepentingan politik mereka.
Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk
mengenepikan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan yang sekaligus menyaksikannya dijatuhi hukuman penjara lima
tahun, seperti yang sudah dijangka, terus cuba dimanipulasikan semaksimum yang
mungkin oleh pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai usaha mereka memperlihatkan
kepada rakyat negara ini kononnya Malaysia dipimpin oleh sebuah kerajaan yang
zalim. Berturut-turut usaha digerakkan oleh orang-orang kanan Anwar baik ‘yang
bertamadun’ ataupun ‘yang tidak bertamadun’ di dalam menunjukkan protes mereka
terhadap keputusan mahkamah yang ‘zalim’ pada pandangan mereka itu.
Anwar sendiri di dalam usahanya untuk memperoleh ‘pulangan’
daripada publisiti berterusan kesnya itu pula bagaimanapun kelihatannya agak
kucar-kacir di dalam percaturan beliau selain semakin tidak konsisten di dalam
menyatakan pendiriannya berhubung kesalahan meliwatnya itu. Tindakan yang
diambil beliau serta penyokong-penyokongnya telah beberapa kali terbukti
bercanggah dengan kenyataan-kenyataan yang beliau sendiri umumkan.
Imbas kembali kata-kata Anwar di dalam ucapan beliau kepada
para penyokongnya sehari sebelum dihukum penjara, dengan lantang dan tegasnya
ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan tidak takut sekiranya beliau
dipenjarakan. Perjuangannya untuk rakyat ujar Anwar, akan tetap diteruskan
sekalipun beliau meringkuk di dalam penjara.
Namun begitu hanya setelah beberapa hari menjalani hukuman,
dengan liputan berita mengenai dirinya terus menjadi topik utama kebanyakan
organisasi media terutamanya yang ‘mesra pembangkang’ setiap hari, nada
‘heroic’ Anwar seakan-akan pudar apabila membuat permohonan pengampunan DiRaja
yang dikemukakan kepada yang Dipertuan Agung, yang sekaligus mengekalkan
statusnya selaku ahli Parlimen buat masa ini sehinggalah keputusan permohonan
pengampunan diketahui.
Untuk rekod, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan
kelayakan seseorang ahli Parlimen itu terlucut sekiranya disabitkan atas suatu
kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di
wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan
dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau
denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan
bebas.
Beberapa hari selepas permohonan pengampunan dikemukakan,
partinya, PKR telah menyatakan hasrat untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat
supaya membenarkan Anwar yang merupakan Ketua Umum parti itu untuk menghadiri
Sidang Parlimen yang bakal bermula 9 Mac ini dengan alasan beliau masih lagi
berstatus seorang ahli Parlimen.
Perkara ini telah menimbulkan persoalan di kalangan pelbagai
pihak yang mengikuti perkembangan cerita liwat ini yang seolah-olahnya tidak
berpenghujung dan tidak surut dengan ‘drama’. Antara persoalan yang
dibangkitkan adalah bolehkah seorang banduan yang sedang menjalani hukuman
menyertai sesi perbahasan di dalam persidangan Dewan Rakyat, berbahas dan
memainkan peranannya selaku penggubal undang-undang.
Penulis cuba membayangkan bagaimanakah situasinya sekiranya
Anwar, yang secara teknikalnya seorang banduan, dan dalam masa yang sama juga
secara teknikalnya masih lagi seorang ahli Parlimen, dibenarkan untuk menyertai
persidangan Dewan Rakyat itu.
Pastinya ia bakal menjadi satu lagi ‘fenomena’ di luar
daripada ‘norma’! Sekiranya ia berlaku, penulis tidak menolak kebarangkalian
akan terbitnya sebuah buku bertajuk ‘A Convict in The House’.
Kembali serius, secara peribadi penulis berpendapat isu ini
lebih membawa impak yang negatif kepada rakyat Malaysia secara umumnya bagi
jangka waktu panjang daripada yang positif. Hakikatnya, tak salah sekiranya
penulis menyatakan impak positif isu ini hanyalah kepada Anwar dan sekutunya
semata-mata, tidak sama sekali memberikan faedah kepada rakyat ‘yang
diperjuangkan’ Anwar.
Perlu ditegaskan bahawa sekiranya kebenaran diberikan kepada
Anwar, ia akan menjadi satu peristiwa bersejarah buat sistem demokrasi di
Malaysia dan sudah pastilah akan terus menjadi sebutan dan rujukan bagi satu
jangka masa yang panjang, sesuatu yang sememangnya disasarkan Anwar dan
orang-orang kanannya, publisiti yang berterusan. Pakatan pasti akan sehabis
boleh memanipulasikan cerita liwat ini untuk kepentingan politik mereka.
Sementara dari sudut moral pula, penulis percaya majoriti
rakyat Malaysia pastinya tidak sanggup lagi mendengar ataupun membaca perkataan
liwat ataupun apa-apa cerita mengenai kes Anwar meliwat ini apatah lagi untuk
jangka panjang.
Seperti yang telah dinyatakan, sekiranya Anwar diberi
kebenaran untuk menyertai sesi Dewan Rakyat, ia akan menjadi sejarah. Pastinya
kita tak sanggup untuk melihat fakta bersejarah di negara ini
berlatarbelakangkan kisah banduan yang dijatuhi hukuman penjara kerana meliwat.
Bagai langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi
di India dan juga Nelson Mandela di Afrika.
Seharusnya pimpinan pembangkang termasuklah Anwar sendiri
berlapang dada menerima hakikat yang berlaku. Dan sekiranya benar kepentingan
rakyat merupakan agenda utama perjuangan mereka, cerita liwat ini haruslah
dihentikan serta-merta dari terus disensasikan kerana mahu atau tidak perlu
diakui ia membawa kepada pengaruh yang tidak baik kepada generasi muda. Jika
pembangkang selama ini mendakwa kerajaan sebagai tidak bermoral dalam cerita Anwar
meliwat ini, secara jujurnya penulis lihat pihak pembangkang sendiri sebenarnya
yang tidak sudah-sudah memberikan publisiti kepada kes ini hingga ke peringkat
antarabangsa liputan mengenainya diberikan.
Hakikatnya yang perlu diberi perhatian oleh penyokong-penyokong
setia pembangkang yang sanggup berkorban nyawa demi pemimpin mereka adalah
‘idola-idola’ mereka sebenarnya tidak peduli akan kesukaran yang ditempuhi
mereka. Agenda memperjuangkan rakyat juga tidak lebih dari sekadar retorik
semata-mata.
Sebaliknya pemimpin kesayangan mereka ini lebih berselera
untuk mengorbankan para pengikut setia demi kepentingan untuk berkuasa seperti
yang sudah terang lagi bersuluh dibuktikan oleh pemimpin ‘anugerah tuhan’
mereka yang sejak dari dipenjarakan kelihatan begitu sibuk sekali ‘berjuang’
untuk diri sendiri, bukannya untuk rakyat seperti yang dimomokkan sehari
sebelum dipenjara. By Aidil Syukri
0 ulasan :
Post a Comment