LANGKAWI - Projek Paddle for Nature tiba di destinasi
terakhirnya, di Kuah yang menyaksikan berakhirnya ekspedisi kayak secara solo
bagi merakam visual di pesisir pantai Semenanjung Malaysia.
Projek kerjasama antara Persatuan Pencinta Alam Sekitar
(MNS) dan Google Malaysia ini menggunakan sebuah kayak dilengkapi Google Street
View Trekker, yang pertama seumpamanya di dunia.
Ketua Operasi Street View, Google Malaysia, Nhazlisham
Hamdan berkata, Street View Trekker mempunyai 15 kamera dan boleh dipasang di
pelbagai jenis pengangkutan serta mampu merakam imej panorama 360 darjah (paras
jalan).
“Di Malaysia, alat itu dipasang di beg sandang khas, kereta,
basikal tayar tiga, motosikal, troli termasuk kayak,” katanya ketika hadir
menyambut ketibaan Che Zahiruddin Che Othman, 20, yang tiba di Kuah menamatkan
ekspedisi kayak secara solo bermula 9 September lalu dari Pengkalan Kubor,
Kelantan.
Ekspedisi itu menuju ke Johor merentasi Selat Melaka, dan selepas
26 minggu, ia tiba ke destinasi terakhirnya, Kuah, baru-baru ini.
Nhazlisham berkata, selain menjejak pesisir pantai, kayak
terbabit turut mengelilingi Pulau Kukup di Pontian.
“Imej dari Georgetown dan Penang State Park juga dirakam
serta kawasan pesisir sekitar Langkawi dan pulau-pulau berhampiran,” katanya.
Menurutnya, Google Malaysia menyokong misi konservasi MNS
ini, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan warisan laut
termasuk usaha pihak berkaitan yang berjuang melindungi harta bernilai ini.
“Pada masa sama, menjana dana untuk projek konservasi marin
pada masa depan,” katanya.
Nhazlisham berkata, sejak 2013, Google Street View
mengelilingi Malaysia merakam imej-imej di negara ini dan pada tahun lalu,
menerbitkan hampir 90 peratus imej terbabit terutama di jalan-jalan awam di
Semenanjung Malaysia termasuk lebuhraya utama dan jalan bertol,
jalan negeri, pusat bandar dan kawasan kejiranan.
“Di bahagian di mana terdapatnya Street View, imej itu boleh
diakses dengan menggerakkan ikon pegman berwarna kuning di sebelah kanan peta
atau map ke atas kawasan berwarna biru. Pengguna juga boleh mencari destinasi
tempatan dan kawasan di mana terdapatnya
imej Street View dari carousel di bawah skrin,” katanya.
Menurutnya, dengan membawa Street View ke Malaysia, Google
berharap dapat menyediakan perkhidmatan peta atas talian kepada rakyat Malaysia
dan pada masa sama memberikan lebih banyak kaedah meneroka kawasan kegemaran
atau tempat-tempat baharu.
“Sebagai tambahan ia turut membantu perkembangan ekonomi
melalui pemetaan yang lebih baik,” katanya.
0 ulasan :
Post a Comment