Langkawi: Asap tebal berwarna-warni iaitu hijau, merah,
putih dan hitam yang memenuhi ruang udara Langkawi sejak Selasa lalu, menjadi
lambang warna bendera negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melakukan
persembahan cukup memukau pada LIMA’15 kali ini.
Pasukan Al-Fursan UAE yang pertama kali menyertai LIMA’ 15
membuat persembahan aerobatik sehingga mendapat pujian pengunjung yang sentiasa
menantikan kemunculan pesawat negara berkenaan.
Ketua Pasukan, Leftenan Kolonel Nasser Ahmed Al Obaidli
berkata, tujuh jet pejuang jenis MB339 digunakan dalam persembahan aerobatik
itu sebenarnya melambangkan tujuh negeri dalam UAE iaitu Abu Dhabi, Dubai,
Sharjah, Ajman, Um Al Quain, Ras Al Khaima dan Al Fujairah.
“Kami teruja dan gembira kerana baru pertama kali menyertai
LIMA’15. Rakyat di negara ini sangat baik hati dan peramah. Oleh itu kerajaan
UAE bersetuju untuk menghantar pasukan Al-Fursan ke sini untuk memberi sokongan
kepada kerajaan Malaysia.
“Kami mengambil masa tiga hari untuk sampai ke Malaysia bagi
menyertai LIMA’15. Kami berlepas dari UAE dan singgah di beberapa negara
termasuk India sebelum ke sini,” katanya.
Beliau berkata, seramai 40 kru termasuk tujuh juruterbang
Al-Fursan dari Tentera Udara UAE datang awal untuk menyertai LIMA’15.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan pertunjukan di beberapa
negara termamsuk Oman, Kuwait, China, Bahrain, Itali dan Belgium,” katanya.
Nasser berkata, pengalaman membuat persembahan di Malaysia
sempena LIMA’15 adalah pengalaman menarik kerana dapat berjumpa dengan rakyat
negara ini yang baik hati.
Katanya, semua juruterbang pasukan itu yang ditubuhkan pada
2010 mendapat latihan intensif di Itali bagi membuat persembahan aerobatik
sebelum pulang ke tanah air mereka.
Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berpeluang bertemu
secara eksklusif, berasa teruja dapat melihat sendiri kecekapan dan disiplin
tinggi juruterbang serta kru dalam membuat persiapan sebelum mereka melakukan
persembahan.
Sebelum melakukan penerbangan, juruterbang akan membuat
persiapan satu jam lebih awal termasuk memakai pakaian khas dan melakukan
pemeriksaan sendiri enjin pesawat berkenaan meskipun sudah dilakukan kru
sokongan.
Tahap disiplin yang tinggi ditunjukkan apabila mereka
bergerak dalam keadaan berkawad seiringan ketika berjalan menuju ke pesawat masing-masing
sambil membawa topi keledar dan melakukan persiapan akhir sebelum terbang.
Sebagai ‘simbolik’ tujuh pesawat ini akan melepaskan asap
‘warna warni’ sebagai tanda isyarat akan memulakan penerbangan aerobatik dengan
lima pesawat berlepas dahulu sebelum dua pesawat menyusul.
0 ulasan :
Post a Comment