20 October 2014

KEDAH selaku pasukan bukan pilihan, sekali lagi mencipta kejutan apabila berjaya mengatasi juara bertahan, Pahang 3-1 pada saingan separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Darul Aman Alor Setar, malam tadi.

Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong sendiri, Kedah memulakan permainan dengan aksi meyakinkan dengan melakukan serangan bertali arus ke gawang pasukan lawan.

Usaha skuad Helang Merah membuahkan hasil seawal minit kesembilan menerusi pemain importnya, Namkung Woong yang melepaskan rembatan kecang daripada luar kotak penalti untuk membolehkan tuan rumah mendahului 1-0.

Skuad Tok Gajah yang cuba untuk bangkit, sekali lagi dikecewakan apabila gawang golnya dibolosi sekali lagi pada minit ke-49 menerusi Mohd. Farhan Roslan yang menanduk kemas bola hantaran Baddrol Bakhtiar.

Namun, pada minit-minit akhir perlawanan, gawang Helang Merah berjaya dibolosi Pahang menerusi Matias Ruben Conti.


Bagaimanapun, kegembiraan Pahang hanya seketika apabila Kedah berjaya menyumbat gol ketiga menerusi Khyril Muhymeen, sekali gus membolehkan Kedah mendahului 3-1.

Skuad Tok Gajah turut membuat asakan namun ternyata benteng pertahanan Kedah selaku juara trebel musim 2007/08 sukar ditembusi.

Kelebihan agregat dua gol itu akan menjadi pembakar semangat kepada Kedah untuk terus menyumbat gol di tempat lawan pada aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang pada 24 Oktober nanti.

Hadir menyaksikan perlawanan malam tadi ialah Tengku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

“Saya kagum dengan komitmen para pemain Kedah pada perlawnaan ini. Mereka telah bekerja keras sepanjang perlawanan ini dan inilah hasilnya. Saya berharap rentak cemerlang ini akan diterukan pada aksi kedua di Kuantan nanti,” jelas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.



19 October 2014

GOMBAK: Dua maut manakala tiga lagi cedera membabitkan kemalangan lima motosikal besar berkuasa tinggi dengan enam kereta di Kilometer 26 Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Ismail Kamarudin berkata, seorang mangsa maut kerana rentung akibat motosikal terbakar, manakala seorang lagi tersepit di bawah sebuah kereta Honda.


Katanya, tiga lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Selayang.


18 October 2014

LANGKAWI: Pelumba Slovakia, Michal Lami dan Eva Lechner dari Itali menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan kategori Lelaki dan Wanita Elit dalam Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2014 yang berakhir di sini, hari ini.

Lami, dari pasukan kebangsaan Slovakia, menduduki tempat kesembilan pada peringkat kelima dan terakhir hari ini namun ia mencukupi untuknya mengekalkan jersi kuning yang dimenangi pada peringkat keempat semalam.

Ini membolehkannya dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Elit edisi kelima perlumbaan ini.

Selepas tamat perlumbaan hari ini yang membabitkan 11 pusingan di atas trek 1.6km (17.6km) di Pantai Lagenda, Lami yang pertama kali menyertai LIMBC mencatatkan masa terkumpul sembilan jam 14 minit 19.50 saat (9:14:19.50s) untuk mengetepikan tiga juara sebelum ini iaitu Karl Platt (2011), Fabian Giger (2012) dan Kohei Yamamoto (2013).
Paling menarik, Lami muncul juara keseluruhan tanpa muncul pemenang bagi mana-mana peringkat sejak kejohanan bermula dengan acara prolog ujian masa individu Isnin lepas.

Pelumba Jerman, Platt yang mewakili Bulls Team di tempat kedua keseluruhan dengan catatan masa 9:14:54.30s manakala Giger dari Switzerland yang mewakili pasukan Giant Pro XC di tempat ketiga dengan catatan 9:17:13.00s.


Lami jelas gembira kerana pada kemunculan sulungnya berjaya menewaskan tiga bekas juara sebelum ini.

"Bagi pusingan pertama perlumbaan hari ini, saya berada dalam kumpulan pertama tetapi gagal mengejar pada pusingan kedua... namun, saya tidak kisah kerana mahu menumpukan perhatian kepada gelaran juara keseluruhan selain mengekalkan jersi kuning yang dimenangi semalam.


"LIMBC adalah perlumbaan terakhir saya bagi tahun ini. Selepas ini, saya mahu berehat sepuas-puasnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada peringkat kelima hari ini, pelumba kebangsaan Denmark mendominasi tiga tempat teratas dengan Sebastian Fini Cartensen muncul pemenang dengan catatan masa 28 minit 11.70 saat (0:28:11.70s) manakala Nells Bech Rasmussen di tempat kedua (0:28:13.40s) manakala Louis Bendixen di tempat ketiga dengan catatan masa 0:28:13.80.

Dalam kategori Wanita Elit, Lechner yang mewakili pasukan Colnago Suditrol terus cemerlang mengekalkan jersi merah jambu selepas mencatatkan masa keseluruhan 9:15:55.30s manakala pelumba Slovenia, Tanja Zakelj yang mewakili pasukan Unior Tools di tempat kedua (9:26:16.90s).


Pelumba senegara Zakelj, Blaza Klemencic yang mewakili pasukan Slovenia di tempat ketiga dengan catatan masa 9:28:53.50s.

Lechner berkata beliau amat gembira muncul juara tahun ini yang disifatkan sebagai pertandingan yang menyeronokkan dan berharap dapat menyertai edisi keenam LIMBC tahun hadapan bagi membolehkannya mempertahankan kejuaraannya.

Bagi peringkat kelima kategori Wanita Elit membabitkan jarak 16 km (10 pusingan) hari ini, Lechner memenangi perlumbaan dengan catatan masa 0:30:48.30s manakala Klemencic di tempat kedua (0:30:52.40s) dan rakan sepasukan Lechner, Nathalie Schneitier dari Switzerland di tempat ketiga dengan catatan masa 0:31:00.20s.

Edisi kelima LIMBC 2014 yang bermula sejak Isnin lepas, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$150,000 (RM500,000).



LANGKAWI - Seorang lelaki warga Jerman maut selepas terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki kawasan berbukit di Hutan Lipur Telaga Tujuh di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Alexzande Anton, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman setelah terjatuh ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 76 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yaakob Hassan memberitahu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 3.15 petang.

"Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 3.50 petang dan mangsa ditemui di kawasan gaung dengan kedalaman kira-kira 76 meter," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berjaya dibawa naik ke kawasan selamat kira-kira pukul 4.50 petang dan mayat dibawa ke Hospital Langkawi untuk dibedah siasat. 

14 October 2014

Sebuah lagi perkampungan Melayu di negeri ini iaitu Kampung Mutiara, Batu Feringgi di sini, bakal lenyap selepas lebih 200 penduduknya diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.

Kampung berkenaan yang terletak berhampiran lokasi pelancongan popular di sini wujud sejak 1950-an dan menempatkan kira-kira 48 buah keluarga.

Hari ini, penduduk kampung itu mengadakan demonstrasi bagi menyuarakan nasib mereka yang diarahkan berpindah tanpa pampasan dan rumah ganti.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung berkenaan, Ismadi Abu Bakar berkata, masalah mereka bermula pada 2007 apabila tuan tanah yang menetap di Selangor menyerahkan notis pengosongan kepada mereka.

Menurutnya, keadaan bertambah sukar pada 2012 apabila mereka diarah berpindah dengan notis terakhir diterima kira-kira tiga bulan lalu.

Tambah beliau, arahan pengosongan itu membabitkan sebanyak 48 buah rumah penduduk yang terletak di lot A dan B manakala penduduk tidak dimaklumkan jenis pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut.


"Sehubungan itu, kami meminta pihak berkuasa campur tangan bagi membantu penduduk di sini yang tersepit. Majoritinya adalah penduduk asal di Batu Feringgi dan ke mana kami hendak berpindah selepas ini," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi itu.

Terdahulu, Ismadi bersama kira-kira 100 penduduk kampung itu mengadakan demonstrasi sambil mendesak supaya keadilan diberikan kepada mereka dan merayu kerajaan negeri campur tangan menyelamatkan perkampungan mereka.

Pelbagai sepanduk turut dibawa antaranya bertulis 'Jangan Halau Kami', 'Kami Diusir Tanpa Pampasan' dan ' Tuan Tanah Tidak Berperikemanusian' malah ada yang tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata.

Menurut Ismadi, kawasan itu bukan perkampungan haram kerana diiktiraf kerajaan dan pernah mendapat anugerah Johan Kampung Terbaik di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa tiada usaha daripada kerajaan negeri untuk mewartakan perkampungan itu sebagai kampung warisan.

Sementara itu, penduduk, Che Melor Othman, 48, berkata, dia berikrar untuk mempertahankan haknya sebagai penduduk kampung berkenaan dan menuntut supaya pemilik tanah lebih bertimbang rasa.

"Bagaimana saya, suami serta empat anak mahu meneruskan kehidupan kerana kami dihalau tanpa dibayar walaupun satu sen.

"Kami menuntut supaya diberikan rumah di kawasan ini juga kerana kami anak jati kampung ini," katanya.

Saudara kembarnya, Che Bunga pula berkata, mereka mahu terus menetap di situ kerana terdapat masjid di kawasan berhampiran selain mewarisi tempat tersebut daripada nenek moyang.

"Jangan main- main dengan kami orang Melayu di sini kerana apabila keadaan mendesak seperti ini, kami akan bangkit mempertahankan hak kami," katanya.

Bagi Aminah Said, 51, pula katanya, dia dan keluarga terpaksa menanggung kerugian besar kerana rumahnya bakal musnah selain perlu mengeluarkan perbelanjaan menyewa atau membeli rumah baharu di negeri ini yang sangat mahal.

"Saya hanya suri rumah dengan tiga orang anak. Bagaimana saya mahu mencari duit untuk berpindah?" katanya.


09 October 2014

Bom Kedua berjaya dimusnahkan oleh Skuad Pemusnah BOM PDRM sebentar tadi. Ini adalah petanda tidak baik untuk Malaysia. Macam-macam benda yang pelik berlaku di Malaysia sekarang ini.

Kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur digemparkan dengan kejadian letupan bom dipercayai bom tangan depan sebuah kelab malam di Sun Complex.

Kejadian jam 4.20 pagi Khamis itu menyebabkan seorang maut dan 13 lagi cedera.

Mangsa yang mati akibat cedera patah ialah seorang joki kereta di kenali sebagai Tiong Kwong Yie, 36.

Selain rakyat tempatan antara mereka yang cedera ialah rakyat China,Thailand dan Singapura.

Polis tidak menolak kemungkinan letupan itu gara-gara permusuhan antara kongsi gelap.

Sun Complex di Jalan Bukit Bintang itu terletak berdekatan dengan Sungai Wan Plaza dan Plaza Low Yat yang merupakan pusat membeli belah popular di situ.
Sebanyak empat kenderaan juga rosak dalam kejadian tersebut.

Dipercayai letupan itu berpunca dari bom jenis hand grenade (bom tangan) yang dicampak dari tingkat dua bangunan ke bawah, sebiji meletup dan sebiji lagi ditemui tidak meletup di bawah kereta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan itu.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya.

Katanya, semua mangsa termasuk seorang yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala tujuh lagi dihantar ke Hospital Tung Shin untuk rawatan lanjut.


"Kami sedang mengenal pasti motif sebenar kejadian, latar belakang mangsa dan bahan letupan yang digunakan. Kami menerima panggilan daripada orang awam pada 4.25 pagi berhubung kes itu," katanya.

Sementara itu, polis akan membuat siasatan menyeluruh berhubung kes letupan itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan polis dan masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian dengan sebarang kemungkinan termasuk tindakan pengganas.

SEMENTARA ITU, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan 11 daripada mangsa kejadian letupan bom di Bukit Bintang iaitu tujuh lelaki dan empat wanita mendapat rawatan di situ .

Jurucakap HKL berkata, ia membabitkan lima warga tempatan, empat warga China serta masing-masing seorang warga Thailand dan Singapura.

Bagaimanapun seorang warga tempatan yang menjalani rawatan pembedahan di HKL meninggal sebentar tadi.

Manakala 10 lagi mangsa masih mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan, dua daripadanya di zon merah.

Setakat ini, mangsa yang meninggal dunia masih belum dibedah siasat.


Sementara itu, pihak kedutaan berkaitan sudah dimaklumkan dan hadir ke HKL untuk mengenal pasti identiti mangsa.

08 October 2014

Firman Allah dalam ayat 38 – 40 surah Yaasiin; maksudnya: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing

Kejadian gerhana bulan mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.

Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran bulan bagi taqwim Hijrah. Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah
Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah (Solat berjemaah)

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara & Bilangan Rakaat

Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
i.    Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyamyang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana).  Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang.  Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat).  Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii.     Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.  Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

iii.    Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa.  Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu.  Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)

1.         Takbiratul Ihram.
2.         Membaca doa iftitah.
3.         Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4.         Membaca surah al-Fatihah.
5.         Membaca surah dalam qiyam pertama.  Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6.         Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7.         Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8.         Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9.         Iktidal.
10.        Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11.        Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12.        Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13.        Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)

1.         Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2.         Membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3.         Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4.         Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5.         Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6.         Iktidal.
7.         Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8.         Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9.         Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10.        Membaca tasyahhud akhir.
11.        Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

RUJUKAN
Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
al-Dimyāti al-Bakri, Abū Bakr bin ‘Uthmān bin Muhammad Shattā, Hāshiyat i‘ānat al-tālibin, 1995, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil. 1, hlm. 448.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-ma‘ād fi hady Khayr al-‘ibād, 1994, Cet. ke-27, Beirut: Mu’assasat al-Risālah, jil. 1, hlm. 450-456.
Ibn Qudāmah, Muwaffaq al-Din Abū Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Qudāmah, al-Mughni, 1992, Cet. ke-2, Kaherah: Hajar li al-Tibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘ wa al-I‘lān, jil. 3, hlm. 321-333.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Azkār, 1991, cet. ke-3, Madinah: Maktabat Dār al-Turāth & Damsyik: Dār Ibn Kathir, hlm. 291-293.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Majmū‘, t.th, Jeddah: Maktabat al-Irshād, jil. 5, hlm. 50-68.
al-Shāfi’i, Taqiy al-Din Abū Bakr bin Muhammad al-Husayni al-Husni al-Dimashqi, Kifāyat al-akhyār fi hall qhāyat al-ikhtisār, 1991, Beirut: Dār al-Khayr, hlm. 151-152.

Hasil nukilan;
Ustaz Hj. Nurazmallail bin Hj. Marni,
Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial,

Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

05 October 2014


"Saya minta maaf mama, saya minta maaf."

Luahan pilu sambil diiringi tangisan itu berulang kali diucapkan Yusriman Ros­lan, 22, anak kepada Noor Hayati Wook, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.

Yusriman yang memandu kereta Proton Saga BLM untuk pulang berhari raya di Kampung Chain, Lenggong berkata, sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, wanita tersebut yang dalam keadaan nazak sempat bercakap dengannya dan dua lagi adik-beradik lain.

Kemalangan yang melibatkan enam buah kereta dan dua buah treler itu bukan sahaja menyebabkan dia dan dua lagi adik beradiknya kehilangan ibu tersayang, malah turut mengorbankan seorang adik perempuannya, Siti Yuslianis, 20.

"Mama tersepit, saya cuma mampu pegang kepalanya sahaja. Dia sempat meminta maaf dan memaafkan kami sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, Yuslianis sudah tidak berge­rak," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Dua lagi anak mangsa, Yusrizal, 25, dan Siti Yusliana, 12, bagaimanapun hanya cedera ringan.

Menceritakan mengenai kejadian malang itu, Yusriman berkata, dia yang ketika itu memandu di lorong kanan jalan melihat sebuah treler yang dipandu laju melanggar sebuah treler lain sehingga terbalik di sisi kiri jalan.

Katanya, dia yang melihat melalui cermin pandang belakang bagaimanapun terkejut apabila treler tersebut menuju ke arah keretanya pula sebelum mengheret kenderaan tersebut.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat buat apa-apa. Saya hanya mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan cermin kereta pula pecah. Kami hanya mampu menjerit," katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Noor Hayati, Siti Yuslianis dan Yusrizal yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Katanya, Noor Hayati dan Siti Yuslianis yang masing-masing duduk di bahagian belakang pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala Yusrizal yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan ringan.

"Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Meru serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerim panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.37 pagi.

"Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi anak mangsa dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan orang awam," katanya yang memberitahu kereta mangsa diheret sejauh 200 meter.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuz­lan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pemandu treler berusia 40-an itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian berlaku ketika wa­nita itu yang merupakan isteri kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Lenggong.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika menuruni bukit selepas Terowong Menora apabila treler yang dipandu lelaki terbabit gagal dikawal sebelum merempuh kereta yang dinaiki lima beranak itu," ujarnya. Sumber



02 October 2014

Pengumuman oleh Google Malaysia bahawa hampir 90 peratus imej pemandangan yang didapati di sepanjang jalan-jalan semenanjung Malaysia boleh dilihat di laman peta Google Street View telah mengundang pelbagai reaksi di Facebook Astro AWANI.

Rata-ratanya berkata ia menjejaskan privasi kerana kediaman mereka boleh dilihat di laman dan aplikasi Google Maps.

“Membuka ruang untuk perompak datang merompak rumah,” tulis Nazron Amir Mohd Naser.

Sambung Ahmad Faidzal, “Memudahkan kerja perompak. Taip alamat jer, pilih rumah mana satu hendak rompak.”

Sham Sharif yang mencari kediaman keluarga menerusi Google Street View terperanjat kerana Arwah ayah beliau kelihatan di laman berkenaan.

“Baru lepas Google rumah di Ipoh. Terperanjat kami Nampak Arwah ayah yang sedang tutup gate masjid. Map itu diambil tahun lepas. Ayah meninggal pada Ogos tahun ini,” tulis beliau.

Pengguna Facebook Nik Soh Che Man teknologi ada baik dan buruknya.

“Kita perlulah berhati-hati dan belajar mengenalpasti langkah-langkah untuk mengelak daripada anasir jahat yang mungkin akan dilakukan dengan kemudahan teknologi tersebut,” tulisnya.

Pada majlis pengumuman perkembangan terkini Google Street View, Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata imej dirakam di jalan raya awam dan mereka menitikberatkan isu privasi. Muka-muka orang awam dan plat kenderaan dikaburkan.

Pengguna boleh melaporkan jika mereka tidak senang dengan imej-imej yang dipaparkan di Google Street View.


Kongsi pendapat anda bersama kami tentang Google Street View.

01 October 2014

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus imej pemandangan yang didapati di sepanjang jalan-jalan Semenanjung Malaysia kini boleh dilihat di Google Street View dari laman peta Google Maps.

Ia termasuk lebuh raya utama dan jalan bertol, jalan negeri, pusat bandar dan kawasan kejiranan.

Pada satu majlis untuk memperkenalkan perkembangan terbaharu ini, Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, antara imej-imej baharu yang diberi tumpuan adalah Taman Negara, destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi dan Pangkor, tapak warisan UNESCO seperti Pulau Pinang dan Melaka, juga pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.

“Kami ingin membantu orang ramai meneroka tempat yang baharu. Kami ingin anda menggambarkan destinasi itu sebelum memulakan perjalanan. Memang seronok untuk meneroka tempat baharu, tetapi kita boleh meneroka dengan melihat Google Street View terdahulu.

“Kami mahu Google Maps dan Google Street View untuk terus memberi manfaat kepada pengguna,” jelas beliau.


Google Malaysia dalam pada itu berharap penglibatan mereka melalui penyediaan peta yang lebih baik dapat membangunkan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

“Malaysia merupakan negara pelbagai dan berkembang, dan dengan menyediakan pengguna dan perniagaan dengan maklumat peta lebih berguna, Street View juga dapat membantu mencipta kesan ekonomi berpanjangan.

“Satu per lima pencarian di Google adalah mengenai lokasi. Ia dapat membantu pengguna dan sekali gus  membantu perniagaan,” kata Sajith.

Google Street View akan dikemaskini setiap sebulan atau dua bulan. Perancangan Google Malaysia adalah untuk menerbitkan imej Street View di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak akan berhenti. Kita sudah ada ‘base’ dan kita juga akan membuat ‘time machine’ supaya dalam tempoh enam bulan akan datang, anda boleh membuat perbandingan kerana jalan raya di Kuala Lumpur, sebagai contoh, kerap berubah,” jelasnya.
Kereta Street View mula bergerak pada tahun lepas untuk merakam gambar pemandangan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia.

Bagi kawasan-kawasan bukan jalan utama (off road), imej diambil oleh ‘Street View Trekker’ menggunakan sistem kamera diletakkan pada beg sandang. Manakala bagi pemandangan laut pula, pasukan Street View menaiki bot (canoe) untuk merakam imej persekitaran.

Pasukan Street View terdiri daripada pasukan operasi daripada Google, kontraktor dan juga rakan kongsi yang boleh membantu merakam video bagi pihak pasukan Google Street View.