ALOR SETAR: Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak
menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan
hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata
Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK Syeikh Ahmad
Fisol Omar berkata mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih
RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. "Kita
tidak mengeluarkan saman secara membuta.
Kita akan bertindak mengikut aduan yang
dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.
"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran
tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di
pejabatnya di sini.
Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan
mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika
waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan
meninggalkan solat Jumaat.
Perkara mengenai kegagalan menunaikan solat Jumaat
itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul
Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.
Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian
Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan hanya mula menguatkuasakan
secara sepenuhnya 1 Jun ini. Syeikh Ahmad berkata, JAIK mengadakan jelajah di
12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh
membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.
"Poster dan pekeliling
tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh
Kedah," katanya.
Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan
ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat
pelapor akan dirahsiakan.
0 ulasan :
Post a Comment