LANGKAWI: Sidang Kemuncak Ke-11 Kawasan Pertumbuhan Timur
ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak Ke-9
Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) bermula di sini hari
ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).
Diadakan sebagai
sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang berakhir hari ini,
perbincangan secara berturutan yang dijadual separuh hari itu dilihat amat
penting susulan BIMP-EAGA dan IMT-GT sudah menjadi platform bagi integrasi sub-serantau
yang secara langsung akan menyumbang kepada usaha merealisasikan integrasi
ASEAN.
Pemimpin BIMP-EAGA akan membincangkan perkembangan inisiatif
sub-serantau pada Sidang Kemuncak Ke-11 BIMP-EAGA.
Tonggak inisiatif ialah jalinan hubungan, pelancongan, alam
sekitar, sosio-budaya dan pendidikan. Sementara itu, antara isu akan
dibincangkan pada Sidang Kemuncak Ke-9 IMT-GT adalah mengenai kaedah untuk
mempercepatkan transformasi ekonomi di wilayah-wilayah kurang membangun dalam
sub-serantau.
Pemimpin juga akan membincangkan tentang kemungkinan pembinaan
jambatan tambahan antara Malaysia dan Thailand dan kesediaan negara-negara dari
segi kastam, imigresen dan pihak berkuasa lain. Kedua-dua sidang kemuncak itu
akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sultan Brunei
Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla,
Presiden Filipina Benigno S. Aquino III dan Perdana Menteri Thailand Jeneral
Prayut Chan-ocha menghadiri kedua-dua sidang kemuncak itu.
BIMP-EAGA ialah
inisiatif kerjasama ekonomi subrantau di Asia Tenggara dengan visi untuk
merealisasikan pembangunan ekonomi mampan dan penerimaan sosial selain
pembabitan penuh subrantau ini dalam proses pembangunan ASEAN. IMT GT, yang
dibentuk sebelum BIMP-EAGA, mempunyai empat projek penting yang akan menyumbang
kepada Komuniti ASEAN tahun ini iaitu Inisiatif Bandar Hijau; Zon Khas Ekonomi
Sempadan; Operasi RoRo Melaka-Dumai dan Penyambungan Tenaga Melaka-Pekanbaru.