6 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi jaminan
pihak pengurusan akan mengutamakan
kebajikan petugas-petugasnya serta keluarga mereka, terutamanya dalam soal
wang, kediaman dan persekolahan anak-anak yang terjejas banjir.
Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, ramai petugas
dan keluarga kakitangan KTMB turut terjejas dalam banjir yang luar biasa kali
ini.
“Hari ini pengurusan buat keputusan membayar duit ex gratia
RM500 seorang atau minimum setengah bulan gaji. Dalam minggu ini juga, kita
akan release lagi RM500 untuk bantuan banjir, dan RM1,000 di bawah jawatankuasa
kebajikan KTM,” katanya di Kuala Krai, Isnin.
Beliau berharap bantuan berkenaan dapat membantu petugas
menguruskan hal sekolah anak-anak, di samping keputusan kerajaan untuk
mempercepatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Nawawi yang juga ahli parlimen Langkawi berkata
petugas-petugas yang kawasan mereka terjejas teruk mungkin akan ditempatkan di
kawasan lain mengikut skop tugas masing-masing.
Beliau turut meminta pengurus stesen kawasan yang terjejas
supaya mendapatkan kuarters sementara bagi petugas-petugas yang kediaman mereka
musnah akibat banjir.
Nawawi turut melahirkan penghargaan kepada Rejimen Pakar
Pengendalian Keretapi ke-50 Rejimen Askar Jurutera Diraja atas komitmen mereka
ketika terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir serta membantu
membersihkan landasan dan stesen yang terjejas.
0 ulasan :
Post a Comment