KUALA LUMPUR 3 Dis. – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) dan JKKK Persekutuan (JKKKP) dilihat sebagai benteng ampuh
pertahanan negara kerana merupakan elemen penting dalam kepemimpinan akar umbi
yang menjadi tunjang kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob berkata, golongan itu merupakan suara rasmi kerajaan dalam menyampaikan
maklumat setiap program pembangunan serta menjawab segala tohmahan yang
dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.
Untuk itu, kata beliau, JKKK dan JKKKP perlu melalui proses
transformasi bagi memperkasa dan melahirkan pemimpin yang berkemampuan khususnya
dalam membangunkan kawasan luar bandar.
“Pemerkasaan peranan JKKK dan JKKKP merupakan salah satu
daripada dasar transformasi luar bandar kementerian agar mereka dapat merancang
dan memantau projek pembangunan di kampung masing-masing.
“Bagi merealisasikan matlamat itu, kementerian menerusi
Institut Kemahiran Desa (Infra) telah merancang pelbagai kursus termasuk
seminar pemantapan akar umbi, kursus pengurusan desa, pengurusan bencana,
pelancongan desa dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan
JKKK dan JKKKP Malaysia 2015 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu berjaya
menghimpunkan lebih 10,000 pemimpin JKKK dan JKKKP dari seluruh negara.
Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu
Zahar Ujang; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad
Jazlan Yaakub dan Datuk Alexander Nanta Linggi serta Ketua Setiausaha
kementerian, Datuk Mohd. Ariff Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perhimpunan tersebut
merupakan kemuncak kepada program turun padang yang dilaksanakan bagi bertemu
dengan lebih 15,000 JKKK dan JKKKP.
“Diharap program ini dapat mempertingkatkan lagi rangkaian
kerja strategik antara kerajaan dengan kepimpinan negeri dan desa bagi
menjayakan program transformasi luar bandar,” katanya.